Seperti yang kita sedia maklum juga telah banyak melihat, pelajar sekolah di Sabah dan Sarawak terpaksa berdepan cabaran dengan potensi kecederaan dan kematian setiap hari semata-mata untuk ke sekolah.
Beberapa ketika dahulu, seorang pelajar sekolah di Sabah terpaksa menyeberang jambatan reput yang akhirnya runtuh hanya untuk ke sekolah, manakala sekumpulan pelajar lain terpaksa menggunakan saluran paip untuk menyeberang sungai yang deras demi memastikan mereka dapat menuntut ilmu di sekolah masing-masing.
Tular satu lagi video baru-baru ini, selepas ia memaparkan sekumpulan pelajar sekolah terpaksa menyeberang sungai dengan menaiki sampan semata-mata untuk ke sekolah.
Dalam video itu dengan lokasi dikatakan berlaku di Kampung Mangkabusu, Pitas di Sabah, sekumpulan murid sekolah rendah kelihatan menaiki sampan untuk menyeberangi sungai dengan mengharungi arus deras ke arah bertentangan, sementara sekumpulan pelajar lain bersama ibu bapa mereka menunggu giliran untuk ke seberang.
Kedengaran suara ibu bapa yang menjerit dari tebing sungai bertentangan meminta anak mereka berhati-hati dengan perasaan yang cemas dalam video itu.
“Menteri kita tiada hatikah?!”
Video tersebut terus tular di media sosial di mana rata-rata warganet mengecam menteri dan ahli parlimen kawasan berkenaan kerana tidak melakukan apa-apa tindakan bagi menyelesaikan isu tersebut yang telah lama berlarutan.
“Saya sangkakan zaman kita sahaja yang terpaksa naik sampan ke sekolah tetapi nampaknya anak-anak hari ini juga menghadapinya. Anak-anak menteri dapat pergi ke sekolah dengan selesa, tapi kami, anak-anak kami macam pergi berperang kalau mahu pergi ke sekolah,” kata seorang pengguna Twitter.
Seorang lagi memberi komen, “Setiap kali saya melihat video macam ini, saya bayangkan anak-anak saya sendiri terpaksa pergi ke sekolah menggunakan sampan, terpaksa membahayakan diri mereka demi masa depan. Ahli politik dan orang kerajaan mahu menunggu tragedi berlaku ke?”
“Walaupun peperiksaan UPSR dan PT3 sudah dimansuhkan, pelajar-pelajar ini tetap gigih untuk pergi ke sekolah. Semoga tindakan lanjut dapat dilakukan pada kadar segera,” tambah seorang warganet.
Tonton video di bawah: