Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, 67 tahun dikejarkan ke hospital selepas rebah dalam keadaan berlumuran darah ketika sedang berucap pada satu majlis di bandar Nara, barat Jepun, pada Jumaat.

Menurut laporan daripada penyiar awam NHK, Abe dipercayai ditembak dan seorang lelaki ditahan di lokasi yang sama. Seorang wartawan NHK di tempat kejadian berkata mereka boleh mendengar dua das tembakan berturut-turut ketika Abe sedang berucap.
Kyodo News berkata, bekas PM itu tidak sedarkan diri dan mungkin mengalami serangan jantung. Perkara tersebut turut disahkan oleh seorang pegawai dari Jabatan Bomba Bandar Nara kepada CNN.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Hirozaku Matsuno mengesahkan Abe ditembak ketika sedang memberi ucapan kempen di sebuah jalan di Nara City sekitar jam 11.30 pagi waktu tempatan. “Keadaan bekas Perdana Menteri Abe tidak diketahui pada masa ini, dan kami sedang memeriksa keadaan,” kata Matsuno kepada pemberita pada taklimat beritaa kecemasan di pejabat perdana menteri.

Matsuno berkata beliau telah mengarahkan menteri-menteri yang berada di pelbagai tempat di negara itu untuk segera pulang ke Tokyo. Ini termasuklah Perdana Menteri Fumio Kishida yang sedang dalam lawatan bertugas juga akan kembali ke pejabatnya dengan segera selepas dimaklumkan mengenai kejadian tembakan tersebut. Perdana Menteri dijadualkan berucap lewat hari ini.
“Tingkah laku biadab seperti itu tidak boleh diterima atas sebarang sebab dan kami mengutuknya dengan tegas. Kerajaan akan mengambil semua langkah yang mungkin untuk menangani keadaan itu,” kata Matsuno,
Polis mengenal pasti suspek penembak sebagai Tetsuya Yamagami, seorang penduduk Nara. Media berkata beliau pernah berkhidmat dalam tentera Jepun. Siasatan sedang dijalankan untuk mencari punca kejadian berlaku.