Seorang pembonceng motosikal mengalami kecederaan serius selepas ditimpa buah kelapa yang tiba-tiba luruh di tengah jalan raya mengakibatkan wanita itu terjatuh dari motosikal yang ditunggang anak perempuannya.
Kemalangan itu telah berjaya dirakam kamera papan pemuka salah seorang pengguna Jalan Teluk Kumbar, di Georgetown, Pulau Pinang, lokasi di mana insiden berlaku.

Video berdurasi 28 saat menunjukkan pembonceng motosikal sedang bergerak dengan motosikal anaknya apabila tiba-tiba sebiji buah kelapa luruh dari pokoknya dan menimpa ke atas kepalanya yang memakai topi keledar.
Hentakan kuat buah kelapa telah menyebabkan wanita itu terjatuh dari motosikal dengan topi keledarnya terlucut dari kepala dan dia dilihat terjatuh lalu berguling di atas jalan raya.

Anak perempuan mangsa kemudian dengan segera memberhentikan motosikal lalu bergegas untuk menyelamatkan ibunya, bersama beberapa orang awam lain yang telah menahan dan memberhentikan kenderaan lain di jalan terbabit.
New Straits Times melaporkan kejadian itu berlaku pada 26 Jun lalu.
Salah seorang anak perempuan mangsa, Yaya Gani memaklumkan menerusi hantaran Facebook, ibunya telah patah bahu kanan dan tangan kiri serta dua rusuk akibat kemalangan itu.

Mangsa yang pengsan ketika kejadian juga sudah sedarkan diri tetapi masih berada di dalam pemerhatian pihak hospital kerana keadaannya agak teruk, kata Yaya.
Ibunya yang dikenali sebagai Puan Anita kini sedang menjalani rawatan di Hospital Besar Pulau Pinang (HPP), dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan beransur pulih.
“Keadaan adik perempuan saya yang dilihat berlari ke arah ibu selepas kejadian itu, dia tidak apa-apa kecuali trauma,” tambahnya.
Yaya turut memohon semua untuk mendoakan kesembuhan ibunya.

Saksi kejadian, seorang peniaga durian yang gerainya berada berdekatan tempat kemalangan berkata, dia telah biasa melihat buah kelapa jatuh di atas jalan di situ.
Md Ghazali Shahari, 62 tahun berkata ini pertama kali berlaku kemalangan yang mengancam nyawa membabitkan buah kelapa luruh.
“Selalunya buah luruh di tempat yang tiada orang malah pernah menghempap kenderaan dan bumbung gerai saya. Tetapi, tiada kerosakan serius dan sebatang pokok kelapa berhampiran gerai saya telah ditebang sebelum ini,” katanya.
Ghazali juga antara orang awam yang bergegas membantu mangsa.
Sementara itu, pihak berkuasa tempatan memutuskan untuk menebang semua pokok kelapa di sepanjang jalan berkenaan bagi mengelak kejadian itu berulang.

ADUN Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz berkata kepada Harian Metro, “Kejadian ini sama sekali tidak dijangka dan kami amat bersimpati..”
“Jadi bagi mengelak kejadian seperti itu berulang, pihak MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) telah menjalankan kerja-kerja menebang 11 pokok kelapa bermula jam 2 petang 27 Jun, sambil mencari pokok berisiko lain di sepanjang jalan,” katanya.
Azrul menambah, pokok yang berisiko dan membahayakan orang awam akan ditebang menggunakan jentera angkat atau ‘skylift’.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: