Seorang wanita berusia 57 tahun di Tamil Nadu, India, melakukan pengorbanan besar apabila menyamar sebagai lelaki selama lebih 30 tahun demi membesarkan anak perempuannya dengan selamat.
S. Petchiammal kehilangan suami yang meninggal dunia akibat serangan jantung sejurus selepas perkahwinan mereka.
Wanita ini baru berusia 20 tahun ketika itu.

Petchiammal melahirkan seorang bayi perempuan selepas kematian suaminya dan memutuskan untuk membesarkan anak perempuan itu seorang diri.
Bagaimanapun, ibu tunggal ini berhadapan masa sukar dengan menerima ejekan dan gangguan di tempat kerja kerana jantinanya.
“Saya kehilangan suami Siva hanya 15 hari selepas berkahwin. Saya baru berusia 20 tahun ketika itu, dan tidak lama kemudian saya melahirkan Shanmugasundari. Saya memutuskan untuk tidak berkahwin lagi. Tetapi membesarkan anak seorang diri ternyata amat sukar. Saya bekerja di tapak pembinaan, hotel dan kedai teh. Tetapi saya mengalami gangguan di semua tempat ini,” dedah Petchiammal.

Untuk terus bekerja dan membesarkan anak perempuannya secara aman dalam masyarakat patriarki dengan dominasi lelaki, Petchiammal memotong rambutnya menjadi pendek dan menyamar sebagai seorang lelaki dikenali “Muthu”.
Petchiammal kemudiannya berpindah ke kampung Kattunayakkanpatti berhampiran bandar Thoothukudi di Tamil Nadu, dan kad pengenalannya serta dokumen rasmi lain telah digunakan di bawah identiti lelaki bernama “Muthu”.
“Kami menetap di Kattunayakkanpatti lebih 20 tahun lalu. Hanya saudara terdekat saya di rumah dan anak perempuan saya tahu hakikat saya seorang wanita,” katanya.

Petchiammal selamat membesarkan anak perempuannya selama ini dengan menggunakan identiti itu. Anak perempuannya Shanmugasundari kini sudah berkahwin.
The New Indian Express melaporkan wanita ini berkata dia ingin mengekalkan identiti sebagai Muthu sepanjang hayatnya.
“Identiti ini memastikan kehidupan yang selamat untuk anak perempuan saya. Saya akan kekal Muthu sehingga meninggal dunia,” katanya.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: