Sebagai ibu bapa yang baru menimang cahaya mata, perkara yang mesti mereka ambil tahu ialah bayi tidak boleh diberi makanan pejal atau apa-apa makanan orang dewasa sehingga usianya mencapai 6 bulan dan ke atas. Itulah sebabnya bayi perlu diberikan susu, yang sebaiknya dengan susu ibu.
Makanan pejal akan diperkenalkan secara berperingkat kepada bayi seiring dengan perkembangan usia dan juga pertumbuhan giginya. Bayi mungkin berhadapan dengan masalah kesihatan sekiranya ibu bapa atau penjaga memberi mereka makanan pejal pada tempoh lebih awal yang tidak sepatutnya.
Kadang kala ibu bapa sudah berjaga-jaga dengan pemakanan bayi mereka, namun terjadi juga insiden tidak diingini gara-gara campur tangan ‘orang luar’ ketika ‘tidak sedap hati mendengar dan melihat bayi menangis’.
Perkongsian pengguna Facebook Uda Meknul dengan pangalaman menimpa bayinya patut dijadikan iktibar untuk ibu bapa lain di luar sana yang baru menimang cahaya mata.
Anak baru usia 4 bulan setengah sudah diberi makan oleh orang luar
Ibu mana yang tidak sedih, orang luar tidak bertanggungjawab memberi makanan kepada anaknya yang baru berusia 4 bulan setengah sehinggakan bayi ini terpaksa menerima rawatan di hospital.
Uda Meknul mendakwa ada orang memberi makan kepada anaknya tanpa izin hingga mengakibatkan anaknya cirit-birit tidak berhenti dan najis berdarah.
“Doakan baby Uda sihat. Stres kalau orang pandai-pandai usik baby kita. Ikutkan hati nak je Uda saman. Baby bawah 6 bulan jangan nak memandai bagi makanan, bagi rasa atau bagi apa-apa lagi. Anak orang bukan anak kamu.”
Uda berkongsi anaknya, Nik Maisarah atau lebih manja dengan panggilan Shin Aiyara terpaksa ditahan di wad kerana cirit-birit hingga keluar najis berdarah.
Dakwanya, ada orang luar (isteri kepada lelaki datang berjumpa suami Uda) yang bertandang ke rumahnya atas urusan meminta kerja, telah memberi anaknya merasa buah kurma dan buah pear. Alasan yang diberi langsung tak masuk akal, katanya jika orang dahulu boleh buat kenapa ibu-ibu sekarang tak boleh?
Baby Shin cirit-birit lebih dari 30 kali dan cirit berdarah
“Bayangkan kita yang sudah dewasa jika mengalami cirit-birit yang berulang kali pun lemah, tambah lagi si kecil ini. Dia menderita dek kerana orang luar yang cuba memandai-mandai hendak memberi ‘rasa’ walaupun biasa masih bayi belum lagi memasuki fasa untuk ‘boleh makan’.”
Ekoran tindakan tersebut, mereka merasa amat kecewa dengan apa yang menimpa Baby Shin.
“Ni dua-dua nenek dia marah sebab nenek dia suruh bagi makan baby bukan 6 bulan tetapi semasa usia 7 bulan.”
Menurut Uda, selepas 8 tahun menunggu menambah zuriat, baru mendapat rezeki berpeluang melahirkan si kecil ini. Memang sudah teliti menjaga anak dengan baik, tetapi terkena pula insiden yang macam ini.
Semoga Baby Shin cepat pulih dan kembali sihat juga bertabahlah ibu bapanya. Ingat, bayi berusia di bawah 6 bulan, janganlah sesekali anda pandai-pandai tanpa izin ibu bapa atau penjaganya memberi si kecil makanan pejal kepada mereka.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: