26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, August 10, 2022

INSPIRASI ANDA SETIAP HARI

UtamaInspirasiPelajar cemerlang pernah memandu lebih 100km, membongkok dalam but kereta demi capaian...

Pelajar cemerlang pernah memandu lebih 100km, membongkok dalam but kereta demi capaian internet baik, tiada alasan tidak sertai ODL

Pelaksanaan pengajian secara ‘Open Distance Learning’ (ODL) semasa pandemik menjadi satu bentuk cabaran baru yang harus dihadapi para pelajar IPT terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Terdapat pelbagai kekangan yang timbul termasuklah capaian internet yang menjadi masalah paling besar, seterusnya memberikan tekanan besar kepada golongan kurang bernasib baik ini ketika menuntut ilmu.

Anis Arina Aqilah Roslee merupakan salah seorang pelajar yang berhadapan dengan kesukaran itu apabila beliau terpaksa mencari kawasan yang boleh mendapatkan capaian internet yang baik untuk menyertai kelas dalam talian.

YouTube

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Sosial, Universiti Pendidikan Sultan Idris berusia 23 tahun yang menetap di Telupid, Sabah ini berkata beliau mengalami sedikit kesukaran mendapatkan capaian internet baik sejak pencawang telekomunikasi di daerah Telupid terbakar pada 25 Mac lalu.

“Pencawang telekomunikasi di tempat saya terbakar. Jadi banyak syarikat telekomunikasi yang terjejas sebab pencawang ini menghubungkan kesemua talian. Saya guna talian bagi pusat internet komuniti untuk ODL. Bila rosak kes terbakar ini susahlah untuk saya masuk kelas,” jelasnya.

YouTube

“Rumah saya terletak agak jauh dari pekan-pekan dan bandar lain. Lebih kurang 97km dari Ranau dan 130km dari Sandakan. Kalau hendak cari rangkaian internet terpaksa bergerak ke kampung lain. Kebiasaannya saya akan berada di tepi-tepi jalan raya besar yang ada ‘line’ sekurang-kurangnya tiga bar bagi membolehkan saya masuk kelas.”

“Kawasan-kawasan saya pergi itu pun tidak menentu sebab internet tidak stabil. Jadi saya kena selalu ubah tempat bagi mendapatkan jaringan internet. Yang paling dekat dengan rumah saya pun jaraknya lebih kurang 10km baru ada internet,” kata Anis Arina.

YouTube

Jelas Anis Arina, beliau bagaimanapun tidak duduk di bahagian dalam kereta semasa proses pembelajaran kerana kelas berlangsung dari pagi sehingga petang dan beliau bimbang enjin kereta akan panas melampau di samping mahu menjimatkan petrol.

Pelajar ini terpaksa duduk di bahagian but kereta Myvi milik ibunya yang mana ruangnya lebih luas bagi membolehkannya berbaring dan mencatatkan nota.

Anis Arina turut melalui banyak kesukaran lain yang terpaksa dihadapi seperti suhu telefon menjadi panas sehingga membuatkan dirinya menangis dan hampir berputus asa.

Gambar mStar

Namun pelajar gigih dan berdedikasi ini tetap meneruskan perjuangan dalam menimba ilmu setelah mendapat sokongan moral daripada orang-orang sekeliling yang memahaminya.

“Sebelum ini pernah masa tengah kelas, tiba-tiba internet terputus. Kebetulan pula yang mengajar masa itu ialah Ketua Jabatan. Saya memang cuak dan terus ambil inisiatif hubungi kawan guna telefon rumah dan minta tolong dia beritahu pensyarah-pensyarah kelas lain yang sangat memahami dan banyak bagi semangat untuk saya teruskan belajar walaupun sukar,” katanya. 

YouTube

“Biasanya mereka akan tanya dulu saya masuk kelas dekat mana, Adakalanya, mereka akan menghantar rakaman kelas secara peribadi kalau saya tidak dapat masuk kelas itu sebab mereka bimbang akan keselamatan saya yang terpaksa pandu kereta ke tempat-tempat yang ada internet,” katanya.

Walaupun terpaksa berdepan dengan banyak halangan untuk hadir ke kelas dalam talian, Anis Arina tetap berusaha kerana percaya akan ada keberkatan dan ganjaran bagi orang yang berusaha mencari ilmu.

Ini terbukti apabila gadis ini berkongsi di TikTok yang menunjukkan detik beliau menerima berita gembira apabila berjaya mendapat keputusan CGPS (Purata Nilai Gred Kumulatif) 4.00 bagi peperiksaan semester kelima.

Gambar mStar

“Semester lima merupakan sesi paling mencabar mental dan emosi untuk saya. Lebih-lebih lagi setelah tiga tahun ODL. Ditambah pula dengan subjek-subjek yang semakin sukar dan berat sampai hari-hari mengeluh hendak berhenti belajar.

“Pernah juga dulu saya tertinggal satu kelas itu sebab tiada internet, saya terus menangis. Yelah walaupun semua orang faham situasi saya tapi takut juga ia akan memberi kesan kepada mana-mana pihak terutama sekali bila ada kerja kumpulan dan saya bagi alasan tiada internet,” katanya.

“Tetapi saya bersyukur semua usaha penat lelah saya itu berbaloi bila dapat keputusan cemerlang untuk semester lepas. Masih tak percaya sampai sekarang walaupun sembilan minggu laptop saya rosak dalam masa siapkan Projek Ilmiah Tahun Akhir, saya boleh dapat dekan,” tambah Anis.

YouTube

Sehingga kini, perkongsian video gadis ini yang menjadi tular telah meraih lebih 1.4 juta tontonan dan rata-rata netizen mengagumi usaha dan dedikasi Anis Arina untuk menuntut ilmu walaupun sukar.

“Saya muat naik video ini sebagai kenangan dan jenaka sahaja. Tapi tak sangka pula ramai yang boleh kaitkan kesukaran saya hadir ke kelas maya dengan kisah mereka yang bersusah payah hendak masuk kelas juga.”

YouTube

“Ramai yang terinspirasi dan jadikan video ini sebagai punca semangat mereka. Ada juga meluahkan video-video ini semua memberi kesedaran dan membuatkan diri rasa lebih bersyukur dengan apa yang mereka ada sekarang,” katanya.

Disebabkan respons yang baik daripada semua, ini telah membuatkannya menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan pengajian walaupun berada dalam kesukaran. Anis Arina ingin membuktikan bahawa realiti jurang digital masih wujud dalam kalangan kita walaupun zaman kini dikatakan telah serba moden.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

TREN TERKINI