33.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024
UtamaGaya HidupKerabu pucuk paku taugeh dengan kerang gaya utara, ratah sahaja pun sedap!

Kerabu pucuk paku taugeh dengan kerang gaya utara, ratah sahaja pun sedap!

Salah satu perkongsian masakan di kumpulan Facebook Masak Apa Hari Ni (MAHN) yang menarik perhatian ialah kerabu pucuk paku taugeh dengan kerang. Masakan tersebut telah dikongsikan oleh Nor Haida. Menurut Nor Haida, jika ratah sebesen pun tiada masalah! Jika anda peminat kerabu, mari lihat resipi tersebut dan cubalah memasaknya sendiri nanti.

Tetapi, tunggu dulu. Tahukah anda apa maksud kerabu? Kerabu, berdasarkan carian di Pusat Rujukan Persuratan Melayu, PRPM bermaksud makanan yang dibuat daripada hirisan mentimun atau sayur-sayuran yang dicelur serta dibubuhi kelapa parut, garam, lada dan lain-lain.

PRPM

Membacanya sahaja sudah membuatkan anda telan air liur bukan? Apatah lagi jika dapat menjamah ulam-ulaman yang segar lagi menyihatkan ini barang sesuap dua. Nikmatnya tidak terhingga, sampai-sampai mak mertua lalu depan mata pun tidak perasan! Nah, mari kita lihat resipi yang dikongsikan oleh Nor Haida ini.

Bahan-bahan yang diperlukan:

  1. 1 mangkuk isi kerang yang telah direbus.
  2. 1 ikat pucuk paku yang telah dicelur dan ditoskan airnya.
  3. 2-3 genggam taugeh.
  4. 1 biji bawang besar yang telah dihiris nipis.
  5. 4 sudu santan pekat.
  6. 3 sudu besar kerisik.
  7. 2 sudu air limau nipis.
  8. Garam atau sos ikan.
  9. Gula pasir atau gula Thai (yang biasa digunakan oleh orang Thailand untuk buat somtham).
  10. 3 batang serai.
  11. Setengah inci lengkuas.
  12. 5 hingga 8 biji cili api.
  13. Belacan.

Cara-cara membuat kerabu pucuk paku taugeh dengan kerang:

  1. Kisar serai, lengkuas, cili api dan belacan sehingga lumat. Letak sedikit air agar bahan-bahan tersebut mudah dikisar. Jangan letak banyak air kerana tidak mahu kerabu tersebut berair. Peringatan, jika anda sukakan pedas, boleh tambah lagi cili api. Belacan pula, cukuplah sebesar saiz ibu jari anda. Jika anda hendak menumbuk bahan-bahan ini dengan menggunakan lesung batu, itu lebih menarik!
  2. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar tadi ke dalam besen. Campurkan bawang besar, santan, kerisik, air limau nipis, garam dan gula. Kacau sebati. Jika anda hendak tambah perasa Ajinomoto pun boleh.

3. Masukkan isi kerang, pucuk paku dan taugeh ke dalam besen tersebut. Kacau semua bahan-bahan hingga sebati. Jamah sedikit dan tambah garam, gula atau perasa mengikut selera anda. Yang penting, anda akan dapat kerabu yang rasanya pedas, masam, masin, manis, berlemak dalam satu hidangan. Berkenaan dengan taugeh, jika anda sukakan taugeh yang lembik, anda perlu celur dahulu taugeh tersebut. Jika anda sukakan taugeh yang rangup, tidak perlu mencelurnya.

Menurut Nor Haida, ini adalah kerabu gaya utara. Ratah sahaja pun boleh habis sebesen! Menurut Cik Izzah, salah seorang netizen yang memberi komen terhadap resipi tersebut, orang sebelah Kedah memang akan meletakkan kerisik dan santan supaya kerabu menjadi lebih sedap. Mengenai santan, anda boleh meletakkan satu atau dua sudu seperti yang disarankan oleh Nor Haida.

Apabila sudah tahu resipi kerabu pucuk paku taugeh dengan kerang ini, bolehlah anda tambahkan dalam senarai menu berbuka puasa pada Ramadan akan datang. Pasti suasana berbuka puasa menjadi lebih meriah nanti!

Pucuk paku ini banyak khasiatnya yang ramai orang terlepas pandang. Antaranya ialah:

  • Mencegah penuaan secara semula jadi.
  • Menyihatkan mata. Kandungan vitamin A yang terdapat dalam pucuk paku baik untuk kesihatan mata seperti mencegah iritasi dan penyakit rabun.
  • Mencegah hipertensi. Pucuk paku mengandungi khasiat yang semula jadi dalam mengawal tekanan darah.
  • Mencegah kenaikan kolesterol.
  • Menyembuhkan luka. Pucuk paku mampu membentuk jaringan sel kulit baru lalu membantu mempercepatkan proses penyembuhan luka.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan memakan makanan yang berkhasiat. Jika anda tidak suka masakan berkuah, anda boleh cuba masakan kering seperti kerabu. Jangan lupa untuk mencuba resipi kerabu pucuk paku taugeh dengan kerang ini!

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI