PUTRAJAYA – Protokol baharu pengasingan bagi mana-mana individu yang menjadi kontak rapat dengan pesakit positif COVID-19 akan diumumkan minggu depan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin berkata pada ketika ini disebabkan peningkatan kes yang mencecah angka tertinggi, kerap berlaku insiden orang yang dikategorikan sebagai kontak rapat.

“Apabila ini berlaku dan ia bukan disengajakan apabila ramai orang menjadi kontak rapat kes positif, sekali gus berupaya mengganggu aspek kehidupan seharian dan akhirnya ekonomi akan terjejas,” kata Khairy.
“Jadi kita akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk kontak rapat minggu depan,” katanya pada 17 Februari.
Khairy berkata, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah mengeluarkan pekeliling untuk semua petugas kesihatan di bawah kementerian itu mengenai satu protokol baharu yang bertarikh 15 Februari.

“Bagi petugas kesihatan awam, mereka yang dikategorikan sebagai kontak rapat tidak perlu menjalani isolasi atau pengasingan dan akan menjalani ujian saringan pada hari-hari tertentu sekiranya tiada gejala.”
“Kita mungkin akan melaksanakan protokol yang sama untuk orang ramai apabila tiba masanya,” jelas Khairy.
Khairy berkata sektor penjagaan kesihatan swasta juga boleh mengamalkan protokol yang sama terhadap pekerja mereka yang merupakan kontak rapat COVID-19.
Berdasarkan protokol semasa, kontak rapat kes positif COVID-19 yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menerima suntikan dos penggalak akan menjalani kuarantin selama lima hari.
Kontak rapat yang telah diberi vaksinasi lengkap tetapi belum menerima dos penggalak akan dikuarantin selama tujuh hari, manakala mereka yang tidak divaksin dan belum divaksin sepenuhnya akan menjalani isolasi atau pengasingan untuk tempoh 10 hari.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: