Apabila bencana puting beliung melanda Kentucky, sebuah keluarga amat gembira kerana membuat pelaburan membina tempat perlindungan bawah tanah lebih 10 tahun yang lalu.
Sebuah keluarga di Bremen, Kentucky amat bersyukur dapat membina tempat perlindungan ribut dan puting beliung yang telah menyelamatkan nyawa mereka, walaupun ia tidak pernah digunakan sejak lebih 10 tahun yang lalu.
Jordan Evans berada di luar bandar bersama anaknya Gage apabila Kentucky barat dilanda puting beliung yang sangat kuat dan terburuk.
Tempat itu, seperti yang digambarkan oleh Jordan, kelihatan seperti zon perang selepas bencana puting beliung itu berlalu.
Ketika puting beliung sedang menuju ke arah kediaman keluarga ini, rumah itu tidak mempunyai ruang bawah tanah atau apa-apa tempat perlindungan di bawah tanah di mana mereka boleh bersembunyi dengan selamat.
Tetapi bersebelahan rumah itu terdapat tempat perlindungan ribut dan puting beliung yang kecil sedalam 10 kaki dan 12 kaki lebar yang mereka bina lebih sedekad lalu.
Ayah tiri Gage, Justin Pointer, mengarahkan kesemua lapan ahli keluarganya bersama dua anjing mereka bergegas ke tempat perlindungan kecil itu sehingga puting beliung selesai melintasi rumah dan kawasan kejiranan mereka.
“Ia mula menggegarkan pintunya dengan kuat dan teruk, sehingga kami terpaksa menahannya,” imbas Justin ketika bencana alam itu berlaku.
Tempat perlindungan itu mungkin sempit dan tidak selesa, tetapi kesemua mereka berjaya keluar hidup-hidup.
Ruang kecil itu memberikan perlindungan kepada mereka ketika puting beliung membadai dan meranapkan rumah mereka.
Bapa Justin membina tempat perlindungan ribut pasang siap itu kira-kira lebih sedekad yang lalu.
Mereka tidak ingat berapa kos untuk membinanya tetapi yang penting sekarang ialah kesemua ahli keluarga telah terselamat selepas dapat berlindung di dalamnya.
Tempat perlindungan itu tidak pernah digunakan sehingga pada malam bencana puting beliung itu berlaku.
“Kata ayah dia akan membayar seratus kali ganda untuknya sekarang,” kata Justin.
Kentucky mengalami bencana puting beliung terburuk yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 88 nyawa, menyaksikan Mayfield antara bandar yang paling teruk terjejas. Bandar itu kini kelihatan seperti bandar hantu, juga seperti sisa peringatan medan perang.
“Infrastruktur kami rosak teruk. Kami tidak mempunyai air yang mengalir. Menara air kami telah hilang. Pengurusan air sisa kami telah hilang, dan tiada gas asli ke bandar. Jadi kami tiada apa-apa untuk bergantung di sini. Hanya semata-mata untuk kelangsungan hidup pada ketika ini untuk kami,” kata Datuk Bandar Mayfield Kathy Stewart O’Nan.
Mereka boleh dan akan membina semula. Walaupun ia akan mengambil masa dan sentiasa bertabah untuk keseluruhan komuniti kembali.