Keluar memancing satu hobi yang memerlukan kemahiran, ilmu dan penuh kesabaran.
Kadangkala duduk termenung menunggu ikan memakan umpan, namun tiada apa pun yang berhasil dan pemancing pulanglah berputih mata dengan tangan kosong.
Bertuah buat si kecil ini ketika sedang bermain-main dengan kailnya di dalam lubang ais, seekor ikan besar telah memakan umpan dan dia sangat terkejut!
Si comel Drayden Nelson berusia enam tahun tidak menyangka mendapat ikan besar ketika keluar memancing bersama keluarganya di tasik beku yang terletak di Kotzebue, Alaska.
Berbekalkan pancing tali ringkas bersama kail dan umpan, Drayden tersentap dan terlopong seketika apabila mendapati seekor ikan telah memakan umpannya.
“Tarik ikan itu ke atas anakku,” bapa Drayden memberi dorongan meminta anak lelakinya berusaha sendiri menangkap ikan itu.
Drayden menarik ikan secara bersungguh-sungguh dengan kudratnya dan ia sangat berat.
Tetapi si kecil ini tidak menyangka ia adalah ikan yang besar apabila menjenguk kepalanya yang mula timbul dari dalam lubang ais.
Bapanya kemudian membantu menaikkan ikan besar itu ke darat.
Akhirnya Drayden berjaya menarik ‘sheefish’ pertamanya.
Drayden tersenyum begitu bangga dan kagum melihat betapa besar ikan putih itu yang sama tinggi dengannya. Berjaya menangkap keluar ‘sheefish’ berukuran 46 inci (117 sentimeter) panjang.
Bertuah sungguh anak kecil ini mendapat rezeki besar buat pertama kali dalam hidupnya pada hari itu.
Tonton video di sini.