Negara kita baru-baru ini dikejutkan dengan kejadian bencana banjir yang teruk dalam tempoh beberapa tahun ini.
Menurut laporan, hujan lebat pada 18 Disember lalu di Lembah Klang menyamai dengan jumlah taburan purata hujan untuk tempoh sebulan.
Dan ianya juga diumpamakan sebagai satu fenomena yang hanya berlaku setiap 100 tahun sekali.
Tentunya terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada situasi ini. Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur (JPS KL), antara puncanya adalah tabiat membuang sampah merata-rata.
“Salah satu daripada punca berlaku banjir kilat ialah masalah pencemaran longkang seperti sampah di dalam longkang”.
“Banjir yang berlaku pada 18 Disember menyaksikan timbunan sampah memasuki aset-aset kerajaan di bawah seliaan JPS KL”.
Tambah pihak JPS KL lagi, sampah yang dibuang sesuka hati oleh sesetengah individu seterusnya akan memasuki longkang dan sungai, sekaligus menjadi faktor berlakunya banjir kilat.
JPS WP Kuala Lumpur/Facebook
“Sama-sama kita jaga kebersihan, sama-sama kita bersihkan sungai kita. Air sumber kehidupan”, tulis akaun rasmi tersebut.
Jelas JPS KL, penyelenggaraan longkang dan parit adalah di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sungguhpun begitu, orang awam perlu ada kesedaran untuk mengurangkan isu sampah dengan aktiviti membersihkan kawasan kejiranan masing-masing.