Hujung minggu lalu merupakan hari yang tersangat mencabar buat kebanyakan rakyat Malaysia terutama bagi mereka yang terkesan dengan musibah banjir besar yang berlaku di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan.
Pada hari Sabtu lalu, banyak jalan telah ditutup di Shah Alam ekoran ditenggelami air bah, mengakibatkan ramai orang awam yang terkandas sama ada untuk berpindah dan bergerak ke lokasi lain selain ketibaan bantuan kecemasan yang amat lewat untuk mereka yang terjejas.
Situasi itu amat mencemaskan dan menjadi trauma buat para mangsa yang berada di lokasi bencana, sekiranya mereka tidak bernasib baik. Namun satu kelegaan buat Andi Harliza apabila suami tercinta telah datang menyelamatkannya untuk pulang ke rumah walaupun dengan terpaksa berjalan kaki sejauh 20 kilometer.
“Phone tak ada bateri, menangis sorang-sorang di bus stop, tiba-tiba nampak suami datang,” Andi menceritakan detik itu di akaun TikTok miliknya.
Sebelum suaminya datang, Andi Harliza telah terkandas di dalam hujan lebat dan terpaksa berteduh di sebuah perhentian bas di TTDI Seksyen 13, Shah Alam.
Nasib Andi pula kurang baik apabila telefon pintarnya telah kehabisan bateri dan powerbank tidak dibawa ketika itu.
Semasa sedang menangis, keliru dan panik tidak tahu hendak buat macam mana sambil duduk di hentian bas itu, tiba-tiba suami Andi muncul dengan berjalan kaki ke arahnya.
Rupa-rupanya suami Andi memang telah mula berjalan kaki sejak kali terakhir mereka dapat berhubung dan kemudian terputus hubungan sebab tersangat risau. Pantas sahaja dia telah bergerak mencari dengan berjalan kaki sejauh 20 kilometer.
“Rupanya dia memang jalan kaki 20 km cari saya yang lost contact… I love you suami!” kata Andi.
Selepas semuanya selamat, pasangan ini telah singgah sebentar di stesen minyak di seberang jalan dari hentian bas itu untuk ke tandas dan mengisi perut yang lapar, sebelum berjalan kaki semula sejauh 20 kilometer untuk pulang ke rumah mereka di Seksyen 11, Shah Alam.
Selain melihat keadaan kebanyakan kawasan di Shah Alam yang dinaiki air, Andi Harliza dan suaminya terpaksa meredah banjir hingga ke paras pinggang.
Dalam perjalanan pulang itu, mereka turut menyampaikan informasi tentang keadaan jalan yang dinaiki air kepada para pengguna jalan raya lain yang terkandas dalam kesesakan jalan raya yang amat teruk.
Rata-rata netizen memuji tindakan pantas suami Andi demi menunjukkan rasa tanggungjawab, pengorbanan dan kasih sayangnya kepada isteri tercinta.
Selain kagum dengan ketabahan dan kesabaran pasangan suami isteri ini yang sanggup berjalan kaki meredah banjir sejauh 20 kilometer pergi dan balik sehingga akhirnya selamat sampai ke rumah.