Kita sudah sedia maklum bahawa burung kakak tua adalah merupakan antara burung yang bijak di dunia. Namun adakah anda tahu bahawa burung gagak turut tersenarai?
Dalam satu kajian, gagak berupaya melakukan tugasan kompleks yang melibatkan ratusan neuron analitik. Hebat bukan?
Mereka turut boleh melakukan kerja, berkongsi pengetahuan dan bahkan meratapi kematian sesama sendiri secara ritual.
Malah nampaknya mereka turut pandai membalas budi. Seorang wanita dari San Francisco, Amerika Syarikat berkongsi kisah dirinya bersama burung gagak di balkoni rumahnya.
Beberapa tahun yang lalu, Melinda mendapati bahawa terdapat beberapa ekor gagak akan berhenti berehat di balkoni rumahnya.
Walaupun ramai cenderung untuk menghalau kehadiran gagak di rumah, Melinda ‘menyambut’ gagak tersebut dengan meletakkan sedikit makanan.
Tidak lama kemudian, Melinda perasan bahawa terdapat sesuatu yang ditinggalkan oleh gagak tersebut yang dianggapnya sebagai ‘hadiah’.
“Mereka meninggalkan penutup botol champagne. Walaupun ianya sampah bagi manusia, namun benda berkilau seperti itu seakan berharga bagi gagak”.
Selain itu, gagak tersebut turut meninggalkan beberapa benda lain – batu kecil berwarna warni, kulit kacang dan bahkan gula-gula jeli ‘gummy bear’.
Menghargai benda yang dibawa oleh gagak berkenaan seolah-olah sudah menjadi satu kegembiraan buat Melinda.
“Walaupun saya tidak tahu apa ini, saya merasakan bahawa ia adalah hadiah istimewa dan sangat berharga”, ujar Melinda.
Melinda semakin selesa bersama gagak berkenaan dan menerima kehadiran mereka sepertinya sudah seperti diziarahi kawan buat Melinda.
Kata Melinda, perkara yang paling bermakna buat dirinya adalah nilai menghormati setiap ciri yang dimiliki oleh pelbagai makhluk yang hidup di muka bumi ini.
“Gagak ini akan mengajar anak-anak mereka untuk hidup secara harmoni dan aman bersama manusia”, akhirinya.