Kenderaan klon atau pencurian identiti kenderaan berlaku apabila sebuah kenderaan diberi nombor plat baru untuk meniru kenderaan lain dengan model dan warna yang sama. Kadang kala, kereta klon hanya melibatkan seseorang yang menggunakan nombor plat pendaftaran palsu untuk mengelak membayar tiket parkir atau mungkin bagi tujuan melakukan jenayah.
Walaupun kereta klon mungkin bukan sesuatu yang anda sering dengar, seorang pemilik Myvi di Johor ini menjadi mangsa kereta di ‘klon’ ketika menerima saman AES dengan gambar Honda Civic FD warna putih yang memakai nombor plat pendaftaran kenderaan miliknya.

Pemilik ini kemudian segera membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan, dengan sebuah video yang dirakam jelas menunjukkan gambar kereta klon itu yang mempunyai nombor platnya, walaupun kereta itu adalah keluaran Honda dengan warna, jenis dan model kenderaan yang jauh berbeza.
Tetapi hanya satu persamaan yang dikongsi iaitu nombor plat kenderaan, yang terbukti adalah palsu.

Seterusnya, pemilik asal nombor pendaftaran kenderaan ini berkongsi bagaimana dia menyelesaikan masalah saman tersebut setelah membuat laporan polis.
Jelasnya perkara penting yang perlu dilakukan ialah membawa notis saman, kereta ‘mangsa’ dan bukti sah pendaftaran hak milik.

“Polis akan memproses laporan itu dan membawa semua dokumen berkaitan termasuk laporan polis ke pejabat JPJ berdekatan untuk proses selanjutnya,” katanya.
Saman berkenaan dibatalkan daripada sistem rekod JPJ setelah pengesahan dan semakan kenderaan dengan nombor pendaftaran asal telah diselesaikan.

Video TikTok yang menjadi tular ini turut menerima komen warganet yang meluahkan kebimbangan kemungkinan kereta mereka juga boleh terjebak menjadi mangsa kereta di ‘klon’.
Diharap perkara seperti ini tidak lagi berlaku di masa hadapan, dan penjenayah itu akhirnya akan dapat diberkas dan membayar segala perbuatan jenayahnya yang jelas menyusahkan urusan orang lain yang tidak bersalah.