Merebus telur adalah proses memasak yang cukup mudah dan cepat. Apa yang anda perlukan hanya telur dan air. Tetapi, apa yang membuatkan ramai geram adalah setelah telur itu direbus sepenuhnya.

Anda pasti pernah berhadapan dengan situasi di mana kulit telur itu melekat bersama isi telur putih sekali gus membuatkan telur itu tidak kelihatan cantik dan licin. Ramai warganet yang berkongsi tips untuk mengupas telur agar kelihatan cantik dan licin. Antaranya seperti meniup telur keluar daripada kulitnya, menggoncangkan telur di dalam botol berisi air dan lain-lain.

Terbaru, seorang pengguna Internet telah berkongsi kaedah terbaru untuk mendapatkan hasil telur rebus yang cantik tanpa perlu bersusah-payah untuk mengupasnya. Caranya adalah dengan menyapu sedikit minyak pada mangkuk kecil sebelum memasukkan sebiji telur mentah di dalam mangkuk tersebut.
Kemudian, tambah 1/3 cawan air ke dalam mangkuk berisi telur berkenaan dan masak di dalam periuk nasi. Masukkan juga 1/2 cawan air di dalam periuk dan tutup periuk dengan tudungnya. Jika anda sukakan telur rebus separuh masak, anda boleh mengurangkan kadar air di dalam periuk.

Setelah masak, anda boleh membuang lebihan air di dalam mangkuk telur sebelum dihidangkan. Hasilnya, telur rebus anda akan membulat dengan cantik dan kelihatan licin. Majoriti warganet berterima kasih kerana memberikan idea untuk merebus telur tanpa perlu mengupas kulitnya.

“Terima kasih, nampak senang untuk dilakukan. Akhirnya, tak perlu bersusah payah mengutip serpihan kulit telur yang pecah. Sangat praktikal”.
“Saya dah cuba dan berjaya! Rasanya juga sedap”.