DIY atau Do-It-Yourself merupakan terma yang merujuk kepada aktiviti membaiki sesuatu benda secara sendiri tanpa mendapatkan bantuan profesional. Baru-baru ini, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun telah menjadi bualan hangat media sosial setelah gambarnya duduk di atas ‘gaming chair’ buatan sendiri menjadi tular.
Menerusi perkongsian di Facebook yang dimuat naik oleh Haizat Zul pada 15 Julai lalu, remaja berkenaan dilihat sedang duduk di atas kerusi plastik berlapikkan kadbod yang dipotong mengikut bentuk kerusi ‘gaming‘ jenama terkenal iaitu Tomaz.

Berdasarkan laman sesawang Tomaz, remaja itu dikatakan duduk di atas kerusi Tomaz Blaze X Pro Gaming Chair yang berharga RM499. Tanpa disangka-sangka, penularan berita ini berjaya mendapat perhatian daripada pihak Tomaz sendiri yang kemudiannya bertindak menghantar kerusi sebenar sebagai tanda penghargaan.

Ketika ditanya sama ada dia sering menggunakan kerusi itu untuk bermain permainan komputer, remaja yang dikenali sebagai Nafis Danish menjelaskan bahawa dia hanya memiliki komputer biasa yang tidak mencapai standard minima untuk bermain permainan. Sebaliknya, dia hanya menggunakan kerusi berkenaan untuk menonton YouTube atau melayari Internet.

Difahamkan adik ini memang meminati aktiviti DIY. Malahan, basikalnya juga turut diubah menjadi motosikal dengan menggunakan enjin pemotong rumput. Terbaik lah Nafis!