Gambar dan video tular yang beredar di media sosial pada 28 Julai menunjukkan kesesakan dan barisan orang ramai yang tidak mematuhi SOP di luar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), ekoran ribuan warga asing tiba serentak bersama warga tempatan yang sah memenuhi janji temu di MySejahtera untuk menerima vaksinasi di lokasi yang sama.
Ini telah menimbulkan kebimbangan di kalangan warga tempatan mengenai tahap keselamatan di PPV yang boleh menularkan jangkitan COVID-19 lebih parah di Malaysia juga kebarangkalian wujud kluster baharu di PPV berikutan tiadanya pematuhan jarak fizikal dan mereka langsung tidak peka untuk mengikuti SOP yang ditetapkan.
Malaysia mencatatkan kes positif tertinggi sebanyak 17,405 kes pada 28 Julai, dan 17,170 kes pada 29 Julai dan sikap ketidakpatuhan seperti inilah antara puncanya.
PDRM kemudian mengeluarkan kenyataan dengan menasihati majikan supaya tidak menghantar pekerja mereka, terutamanya warga asing dengan aturan masa yang terlalu awal untuk mendapatkan vaksinasi dan perlu mengikut waktu temu janji yang telah ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan di PPV.
Ketua Polis Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata kepada BERNAMA, ramai pekerja asing dari Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan akan dihantar ke PPV KLCC dan beliau memohon kepada para majikan agar tidak menghantar pekerja mereka terlalu awal ke PPV tersebut.
Jurugambar The Sun, Adib Rawi yang berada di lokasi ketika itu telah berjaya merakamkan beberapa gambar di PPV berkenaan menerusi laman Twitternya. Menurutnya, barisan panjang hampir 2 kilometer terbentuk di luar bangunan untuk memasuki pintu masuk KLCC.
Diharapkan tidak wujud kluster PPV selepas insiden ini, seperti mana yang berlaku di PPV IDCC Shah Alam.