Haiwan merupakan makhluk ciptaan Tuhan yang perlu kita kasihi dan ambil perhatian. Tidak kisah sama ada haiwan tersebut terjaga mahupun tinggal bebas di jalanan, kita tetap perlu menjaga kebajikan haiwan ini dengan memberikan makanan yang bagus dan tidak melakukan kekejaman.
Di pasaran, terdapat lambakan makanan haiwan yang dijual dari segi jenama, perisa dan juga kualitinya. Ada juga segelintir individu yang sanggup menyediakan makanan sendiri untuk haiwan kesayangan bagi menjamin kualiti dan tahap kebersihan.
Namun baru-baru ini, seorang pengguna Twitter telah membongkarkan kegiatan sebilangan penjual yang sanggup menjual makanan kucing tiruan secara dalam talian semata-mata untuk mengaut keuntungan. Individu yang dikenali sebagai @ZackAvaricious itu telah mendedahkan bahawa dia pernah ditipu oleh penjual yang menjual makanan kucing tiruan jenama Royal Canin.
Menurut Zack, dia telah terpedaya dengan penjual berkenaan yang memperdagangkan hasil jualannya di sebuah platform e-dagang terkemuka di Malaysia. Lebih mengejutkan lagi, bukan hanya Zack tetapi beberapa pembeli lain turut meluahkan rasa tidak puas hati mereka kerana telah membeli produk makanan kucing ‘mewah’ tiruan daripada penjual yang sama.
Ramai pembeli lain meninggalkan ‘rating’ yang rendah kepada kedai penjual berkenaan dan menyatakan bahawa produk yang mereka beli adalah tiruan dan menyebabkan kucing peliharaan mereka jatuh sakit.
“Produk tiruan. Kucing saya muntah-muntah selepas makan. Bau, saiz dan bentuknya juga berbeza daripada produk asli. Kucing saya menjadi lemah dan pasif. Mereka menjadi tidak sihat. Pembungkusan produk juga kelihatan berbeza”.
“Tak tahu kenapa tapi rasa macam tiruan. Pembungkusan tak kemas. Makanan agak kecil. Saya dah guna jenama ini dah lebih 5 tahun. Kucing pun tak nak makan yang ini”.
Selain berkongsi perbandingan produk asal dan tiruan, majoriti pembeli turut mengingatkan pembeli lain untuk membuat laporan terhadap penjual berkenaan supaya dikenakan tindakan oleh pihak berwajib. Kasihan kucing-kucing ini terpaksa menderita sakit akibat sikap tidak bertanggungjawab si penjual!