Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata vaksinasi secara ‘walk-in’ bakal dilaksanakan.
Ia melibatkan penerimaan suntikan vaksin COVID-19, tanpa penerima mendaftarkan diri mereka terlebih dahulu.
Namun demikian, beliau menjelaskan bahawa keutamaan masih lagi diberikan kepada individu yang telah berdaftar dan masih belum diberi janji temu vaksinasi.
“Kita akan melaksanakan ‘walk-in’ tetapi biarlah selesaikan dahulu mereka yang berdaftar, namun belum menerima janji temu vaksinasi”, kata Khairy.
Menurutnya, kerajaan berharap proses vaksinasi ini dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini ataupun lebih awal.
“Tidak adil untuk melaksanakan vaksinasi secara ‘walk-in’ sekarang kerana masih ada individu berdaftar yang tidak menerima janji temu vaksinasi”.
“Jadi, kita akan utamakan mereka yang telah berdaftar terlebih dahulu”, ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, pendekatan suntik dahulu, daftar kemudian turut akan digunakan Sarawak, selepas diumumkan oleh Ketua Menterinya, Datuk Patinggi Abang Johari minggu lalu.
Selain pendaftaran menerusi MySejahtera, Sarawak juga menggunakan kaedah hibrid – pendaftaran secara manual selepas vaksin, khususnya bagi masyarakat luar bandar.