Platform e-perdagangan merupakan satu inisiatif yang bagus dan mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat tatkala sektor ekonomi sedang berada dalam keadaan yang tidak stabil akibat penularan wabak COVID-19.
Tambahan pula negara sekarang sedang berada di dalam fasa ‘total lockdown’ atau perintah berkurung di mana semua sektor perlu ditutup bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan. Justeru, majoriti masyarakat cenderung untuk mencari sumber pendapatan sampingan dengan berniaga di platform e-perdagangan seperti Shopee.

Baru-baru ini, sepasang suami isteri yang cacat penglihatan telah kehilangan punca pendapatan harian apabila restoran tempat mereka bekerja terpaksa ditutup sejak dua bulan yang lalu. Meskipun dilanda musibah, pasangan yang dikenali sebagai Yusri Azis dan Nur Jannah Tan Jia Hui tidak patah semangat sebaliknya terus berusaha untuk mengatasi masalah kewangan yang dihadapi oleh mereka.
Pada minggu pertama perintah berkurung fasa pertama dilaksanakan, pasangan ini telah melancarkan pembukaan kedai atas talian di platform Shopee yang dikenali sebagai Yus Bisnes. Dengan bantuan rakan sekuliah yang sama-sama menuntut di Universiti Malaya iaitu Fa Phong, mereka mula aktif menjalankan aktiviti perniagaan sambal hitam Pahang buatan sendiri.

Perniagaan mereka semakin mendapat sambutan hangat apabila seorang warganet berkongsi maklumat mengenai perniagaan tersebut di laman Twitter sehingga menjadi tular. Dijual pada harga RM10 untuk 100 gram, Yusri mengesahkan hasil jualan mencapai jumlah RM600 dalam tempoh 24 jam selepas pembukaan kedai Yus Bisnes tersebut.

Yusri turut sempat memuat naik sebuah video tutorial di Facebook Shopee Malaysia menunjukkan bagaimana dia melakukan aktiviti perniagaan di Shopee dengan menggunakan aplikasi yang dikenali sebagai TalkBack. Aplikasi berkenaan membolehkan Yusri menguruskan setiap pesanan yang diterima daripada para pelanggan.
Sehingga kini, Yus Bisnes telah berjaya menjual sebanyak 1,000 paket sambal hitam Pahang dengan hasil keuntungan sekitar RM12,000 dalam tempoh seminggu sahaja! Benar-benar memberi inspirasi…

Kini, Yusri sedang dalam persiapan untuk menguruskan pesanan yang telah diterima dan akan kembali untuk mengemas kini stok mereka di Shopee dalam masa terdekat.