‘Lockdown‘ atau perintah berkurung merupakan fasa di mana semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan. Penutupan semua sektor sedikit sebanyak telah menjejaskan urusan harian rakyat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mungkin berhadapan dengan situasi muflis.
Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan ‘total lockdown‘ Fasa Pertama di seluruh negara bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021 manakala Fasa Kedua pula bermula 15 Jun 2021 hingga 28 Jun 2021. Justeru, seorang pemuda yang merupakan pelajar telah berkongsi rutin hariannya yang terpaksa keluar rumah setiap hari demi menghadiri kelas secara atas talian.
Menurut video berdurasi 35 saat ini, pemuda yang dikenali sebagai Naufal Hakimi berkenaan telah memuat naik video dirinya yang terpaksa menunggang motosikal sejauh 3km setiap hari memandangkan jaringan internet di rumahnya tidak begitu bagus.
Hampir setiap hari dia akan keluar rumah dan adakalanya dia terlewat untuk menghadiri kelas atas talian. Namun, pemuda ini menjelaskan bahawa pensyarahnya memahami situasi yang dialami olehnya.
Pasti ramai dapat memahami situasi sebenar yang dihadapi oleh pemuda ini. Sudahlah tarikh peperiksaan akhir hampir tiba, ditambah pula dengan tekanan untuk menyelesaikan tugasan, pembentangan dan projek mini tatkala isu jaringan internet lemah adalah sesuatu yang sangat merungsingkan.
“Setiap hari kena keluar dari pagi sampai petang demi kelas. Kadang-kadang masuk kelas lambat sebab dalam perjalanan ke tempat yang mempunyai jaringan internet laju”.
Di akhir video tersebut, pemuda ini sempat meluahkan rasa gusarnya memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 akan dilaksanakan sekali gus membuatkannya sukar untuk bergerak ke ‘kelasnya’.
Semoga urusan pemuda ini dipermudahkan. Kami percaya berkat kegigihan anda untuk menuntut ilmu pasti akan membuahkan hasil lumayan pada masa kelak.