SHAH ALAM – Seorang wanita terkejut apabila mendapati bayi yang dilahirkannya tertukar selepas dibawa pulang ke rumah dari sebuah hospital swasta di sini.
Wanita berkenaan yang dikenali sebagai Siti Suriani atau lebih dikenali sebagai Siti Jamumall memberitahu, dia telah melahirkan seorang bayi lelaki pada hari Jumaat pukul 2.36 pagi.

Dia menceritakan mengenai kejadian itu menerusi siaran langsung secara ‘live’ di akaun Facebook Jamumall.com.
Ketika siaran langsung itu, pasangan suami isteri berkenaan bersama bapa mertuanya dalam perjalanan untuk menghantar bayi tersebut ke hospital.
Dia mula menyedari bayi itu bukan anak mereka ketika suaminya yang mahu memotong tanda nama pada kaki bayi itu mendapati ia milik wanita lain dipercayai turut melahirkan bayi di hospital sama.

“Saya gementar dan terkejut selepas melihat tanda nama wanita lain sebagai ibu bayi itu yang diletakkan di kakinya. Saya tidak pasti bagaimana kejadian tertukar anak ini boleh berlaku.
“Pada tanda nama di kaki bayi itu, tertera nama ibunya dan waktu dilahirkan iaitu jam 3.02 petang 10 Jun (Khamis) sedangkan saya melahirkan anak pada jam 2.30 pagi semalam,” katanya.
Sebaik menyedari perkara itu, Siti Suriani berkata, beliau dan suami terus menghubungi pihak hospital untuk memaklumkan perkara berkenaan.

“Jika suami tidak menyedari nama ibu pada tanda nama itu, sampai bila-bila kami menyangka dia anak kami walaupun terdetik di hati saya wajah bayi ini berbeza,” katanya.
Walau bagaimanapun, nasib masih berpihak kepadanya apabila dia dapat berjumpa semula dengan bayinya apabila pihak hospital berjaya menghubungi Diana, ibu kepada bayi yang tertukar itu.

Diana dan suaminya juga langsung tidak menyedari perkara tersebut sehinggalah pihak hospital menghubunginya dan mereka juga telah membawa pulang bayi Suriani pulang ke rumah.
Mengulas mengenai kejadian ini Suriani memberitahu tiada perbincangan panjang dengan pihak hospital dilakukan. Dia cuma mahu pihak hospital bertanggungjawab jika ada sebarang komplikasi berlaku pada bayinya.