Golongan pakar bidang farmasi mengatakan bahawa penggunaan produk Ivermectin sebagai rawatan dan pencegahan COVID-19 tidak boleh dilakukan secara terburu-buru tanpa bukti klinikal.
Kenyataan ini dikeluarkan berhubung cadangan penggunaan pelbagai ubat dan vitamin termasuklah produk Ivermectin sebagai rawatan dan pencegahan COVID-19.

Gambar Hiasan/Twitter
Menurut Dekan Fakulti Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Mohd Makmor Bakry, orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil produk itu hinggalah terdapat bukti klinikal yang kukuh, sungguhpun terdapat data-data mengenai keberkesanan Ivermectin di pelbagai laman sesawang dan media sosial.
“Kita faham masyarakat bimbang dengan peningkatan kes dan bilangan kematian semakin memuncak, hingga terdapat banyak pandangan untuk menyegerakan penggunaan produk Ivermectin sebagai rawatan dan pencegahan COVID-19”.
Namun tambah beliau, sehingga kini tiada produk Ivermectin yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah PBKD, Kementerian Kesihatan (KKM) untuk kegunaan manusia.
Pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat dan Agensi Perubatan Eropah (EMA) juga tidak pernah meluluskan indikasi Ivermectin untuk rawatan atau pencegahan COVID-19.
Ini berikutan masih tiada data klinikal kukuh yang mencukupi bagi membuktikan keberkesanan produk dalam merawat atau mencegah COVID-19.
“Pada ketika ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya membenarkan Ivermectin sebagai rawatan COVID-19 dalam kajian atau percubaan klinikal sahaja”.
Ujarnya lagi, bagi menyahut perkara ini, KKM sudah pun memulakan satu ujian klinikal Ivermectin pada 25 Mei lalu bagi mencari bukti keberkesanan dalam rawatan COVID-19.