Salah seorang pesakit COVID-19 yang tidak bertanggungjawab baru-baru ini melarikan diri dari Hospital Kajang dan keluar membeli-belah bersama bakal tunangnya, walaupun telah disahkan dijangkiti dan dikuarantin di hospital itu.
Penolong Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Sungai Chua, Kajang, Faizul Azim berkongsi pengalamannya berhadapan dan menahan pesakit tersebut menerusi luahan dalam akaun Facebooknya.
Pada mulanya, pesakit berusia 24 tahun yang melarikan diri itu telah pulang ke rumah ibunya, yang menghidap diabetes, dan berbohong kepada ibunya dengan mendakwa dia telah dibenarkan keluar dari hospital kerana diuji negatif.
Namun, ketika Faizul, polis dan pemeriksa kesihatan tiba di rumah pesakit ini, mereka diberitahu yang dia tiada di rumah. Ibunya memberitahu yang dia keluar bersama bakal tunangnya.
Walaupun mengetahui dan terang-terang maklum yang dirinya positif jangkitan COVID-19, pesakit itu tetap keluar membeli-belah dengan bakal tunangnya di Metro Kajang.
Dia kemudian telah ditangkap di KFC berhadapan Metro Kajang oleh Faizul Azim sendiri bersama polis dan Inspektor Kesihatan dari Klinik Kesihatan Sungai Chua.
Kerana kecuaian pesakit ini dengan rasa tidak bertanggungjawabnya, kalangan netizen berasa amat marah sambil menyatakan kekecewaan mereka di ruangan komen.
Ada yang berharap agar dia dihukum kerana membahayakan nyawa sendiri, ahli keluarga dan orang sekeliling dengan perbuatannya yang sangat tidak bertanggungjawab, mementingkan diri sendiri, amat cuai dan tiada kesedaran.
Sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab, kita hendaklah saling bantu membantu pada ketika masa yang amat kritikal ini. Setakat 27 Mei, jangkitan positif COVID-19 mencatat angka tertinggi kepada 7,857 kes dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat.
Semua orang mungkin sudah berasa lesu dan bosan dengan pandemik yang tidak berkesudahan ini tetapi jangan pula sampai anda ikutkan sahaja hati itu dengan mengabaikan pengorbanan para ‘frontliner’ yang tidak pernah berhenti berusaha untuk menyelamatkan nyawa anda. Ringankan beban kerja mereka dengan terus patuh kepada SOP.