Seramai 21 orang peserta maraton dilaporkan meninggal dunia setelah cuaca melampau melanda di daerah Gansu, Barat Laut China.
Maraton sejauh 100 kilometer itu bermula pada pagi 21 Mei lalu dengan keadaan yang baik dan cerah namun semuanya berubah selepas jam 1 petang.
Hujan dilaporkan turun bersama ais dan juga angin kencang sekaligus menganggu aktiviti larian berkenaan, lapor Global Times.
Penurunan suhu mendadak di Yellow River Stone Forest menyebabkan peserta mengalami hipotermia, sementara beberapa pelari yang lain dilaporkan hilang.
Sehubungan dengan itu, pihak penganjur kemudiannya menghentikan perlumbaan dan melancarkan pasukan pencarian untuk mencari peserta.
Operasi pencarian itu difahamkan masih diteruskan meskipun hari sudah beransur gelap, memandangkan sebilangan peserta hanya memakai seluar pendek dan kemeja-T.
“Saya sehinggakan tidak dapat merasai jari saya sendiri kerana keadaan begitu sejuk. Lidah saya pula seakan turut membeku”, kata seorang peserta.
At least 21 people died when cold weather struck during an ultramarathon in Gansu province in China, sparking public outrage over the lack of contingency planning https://t.co/d5YoArCrsd pic.twitter.com/JBhI1TQzGU
— Reuters (@Reuters) May 23, 2021
Salah seorang mangsa, Liang Jing turut dijumpai meninggal dunia. Beliau adalah pelari maraton yang terkenal di China.
Beliau sebelum ini kerap kali menyertai larian maraton sebegini dan digemari oleh komuniti larian maraton. Liang Jing juga merupakan Naib Juara untuk acara ini dua tahun lalu.
Janet Ng selaku Pengarah Hong Kong 100 Ultra Marathon dalam pada itu enggan mengulas lanjut tetapi sempat menzahirkan rasa sedih dengan kejadian itu.
Sehingga pagi 23 Mei, seramai 151 daripada 172 orang peserta dilaporkan selamat, dengan 8 daripadanya kini berada di hospital.