Muzik memberikan sentuhan peribadi bergantung kepada interpretasi seseorang ketika menjiwai muzik.
Kepelbagaian muzik juga dapat membuatkan seseorang jatuh cinta dan mengalami pelbagai emosi. Hal ini kerana muzik bukan sahaja dapat membuatkan kita lebih tenang tetapi juga ditafsirkan sebagai medium untuk menghilangkan kesakitan.
Paul Barton yang merupakan ahli muzik dari British menjadikan minatnya terhadap muzik untuk diwarisi anak perempuannya dengan cara yang cukup unik. Sejak puterinya itu dilahirkan, Paul akan memainkan alunan muzik piano yang merdu setiap kali ada kesempatan.
Paul akan bermain piano untuk anak gadisnya itu setiap hari dari usianya masih bayi sehinggalah kini sudah mencecah lima tahun. Tidak kira sama ada ketika sedang mendodoikan anaknya untuk tidur, ketika waktu lapang mahupun ketika sedang bermesra dengan anaknya.
Dalam erti kata lain, anak Paul telah didedahkan dengan pengaruh muzik dan bunyi piano sejak kecil dan si comel ini juga kelihatan seperti menunjukkan minat yang sama seperti bapanya.
Ke mana sahaja bapanya pergi, pasti anak ini juga akan turut serta bersama dengan piano di sisi. Apabila sudah meningkat usia, anak kecil ini mula melatih jari-jemarinya dengan melakukan pergerakan sewaktu bapanya sedang mengalunkan muzik dari piano.
Tidak berapa lama kemudian, pada penghujung video ini memaparkan kemahiran anak kecil ini dalam memainkan lagu kegemarannya yang berjudul ‘Moon River’ dengan menggunakan alat muzik melodeon. Lebih menakjubkan lagi, si kecil ini berjaya mewarisi bakat bapanya dan memainkan alat muzik itu dengan menggunakan sebelah tangan sahaja.
Berkat tunjuk ajar Paul dan kuasa muzik, anak kecil ini berjaya menguasai alat muzik hanya pada usianya yang baru mencecah lima tahun! Dia bukan sahaja berpotensi menjadi ahli muzik ternama suatu masa nanti tetapi dia juga mewarisi bakat bapanya yang menakjubkan!
Paul Barton telah berjaya mencipta memori terindah dengan memainkan lagu-lagu klasik di samping mendidik anak kesayangannya untuk mengikuti jejak langkahnya di persada muzik. Semoga maju jaya buat adik ini.
Rakaman video yang sungguh mempesonakan :