Gara-gara menyerang dan memukul anggota RELA yang memintanya untuk mengikuti prosedur operasi standard (SOP) di pasar pagi di Sitiawan, Manjung, Perak, seorang lelaki berusia 52 tahun telah ditahan pihak berkuasa.
Oriental Daily melaporkan insiden berlaku kira-kira jam 6.40 pagi pada hari Sabtu, 15 Mei di Pasar Awam Looking Good, Sitiawan.
Dalam kejadian yang telah dirakam dan menjadi tular di media sosial, salah seorang anggota RELA bernama Fang berkata dia dan beberapa rakannya ditugaskan untuk menjaga pintu masuk pasar awam itu pada pagi hari Sabtu untuk mengawasi pematuhan orang ramai terhadap SOP semasa PKP.
“Kira-kira jam 6.40 pagi, suspek ingin memasuki pasar untuk membeli-belah, tetapi menurut SOP, pasar awam hanya dapat dibuka kepada umum pada jam 7 pagi, jadi saya meminta suspek untuk menunggu sebentar,” kata Fang, 45 tahun.
Tanpa disangka, lelaki itu tiba-tiba menjadi ‘marah’ dan mengeluarkan kata-kata kesat bahkan menampar, memukul, meludah dan menolak Fang sehingga rebah ke tanah. Anggota RELA lain dan orang awam yang berada di situ dengan segera masuk mencelah untuk menghentikan perbuatan biadab lelaki itu.
Fang berkata ketika dia bangun, lelaki itu berusaha sekali lagi untuk menolaknya dan memarahinya sebelum mengancam untuk ‘menjadikan perkara menjadi lebih buruk’.
Walau bagaimanapun, Fang berkata dia tidak melawan dan hanya berdiam diri.
“Cermin mata dan topi saya juga jatuh ke tanah dengan tindakannya itu. Nasib baik, orang ramai membantu mengangkat saya. Saya ditemani rakan-rakan ke hospital semalam dan memutuskan untuk melaporkan insiden ini di balai polis untuk membuat lelaki itu bertanggungjawab atas tingkah lakunya yang secara melulu,” kata Fang.
Ekoran laporan polis yang dibuat, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi memaklumkan yang pihak polis telah menahan lelaki itu dan kes terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan, kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan secara sukarela terhadap penjawat awam daripada menjalankan tugasnya.
Lelaki terbabit yang didapati mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah, kini direman selama empat hari sehingga hari Khamis, 20 Mei.
Jika sabit kesalahan menurut Seksyen 332 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.