PUTRAJAYA – Isteri anggota polis yang menziarahi suaminya yang sedang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Putrajaya pada Hari Raya pertama dikenakan kompaun RM2,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata kompaun itu dikeluarkan pada 15 Mei di bawah Peraturan 17 (PU A 225/20212) Ziarah Hari Raya Aidilfitri (No 21 Kesalahan-Kesalahan yang diperuntukkan dalam SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana pelanggaran SOP PKP dengan menziarah suami di SJR.
Menurutnya, pada awalnya perbuatan tersebut dilihat sebagai tanggungjawab isteri untuk memberi sokongan moral kepada suami yang sedang bertugas dengan menghantar juadah di pagi raya.
“Namun, kepentingan awam adalah melebihi kepentingan individu dan pihak polis tidak mahu perbuatan sedemikian dijadikan alasan oleh semua ahli keluarga petugas untuk melawat keluarga yang bertugas di lapangan pada Hari Raya atau hari biasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Tular di media sosial gambar isteri bersama tiga orang anak berumur 11 tahun, 10 tahun dan 5 tahun melawat suaminya yang juga anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dalam kejadian yang berlaku pada 13 Mei, kira-kira jam 1 tengah hari di SJR Persiaran Selatan menghala ke Dengkil dan mengundang pelbagai reaksi.
Mengenai dakwaan keluarga anggota polis itu menaiki kenderaan melebihi had tiga orang bagi sebuah kenderaan, Mohd Fadzil berkata siasatan lanjut mendapati mereka datang menaiki dua kenderaan berbeza dan tiada kompaun dikenakan.
“Pihak polis tidak berkompromi sekiranya wujud sebarang pelanggaran SOP PKP dan akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira sama ada orang awam mahu pun anggota PDRM sendiri,” katanya kepada Bernama.
Dalam perkembangan terbaru, seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Datuk Sunny Ung tampil menyatakan hasrat untuk membantu membayar kompaun tersebut.
“Saya kasihan dan terkilan dengan nasib yang menimpa keluarga berkenaan. Saya akui walaupun sedih, ia tetap menjadi kesalahan kerana melanggar SOP. Namun untuk kes berkenaan, budi bicara juga perlu kerana isteri dan anak-anak membawa juadah hari raya dan ingin beraya dengan si ayah,” katanya kepada Harian Metro.
Datuk Sunny berkata beliau akan berhubung dengan keluarga berkenaan untuk urusan pembayaran kompaun.