Tatkala dunia dilanda krisis ekonomi gara-gara COVID-19, tiada siapa yang dapat membayangkan jika diri mereka berdepan dengan situasi dibuang kerja atau dipecat.
Ini kerana, ramai juga yang terpaksa diberhentikan kerja oleh majikan. Ia ternyata sukar namun terpaksa juga dihadapi.
Tipulah jika tidak sedih bukan? Tetapi kuatkan semangat anda dan jangan pernah putus asa. Ingat, setiap usaha dan kegigihan kita tidak pernah sia-sia.
Seperti kisah individu ini, di mana dia berpengalaman beberapa kali dibuang kerja oleh majikan. “Kali pertama saya dipecat, saya diperangkap oleh rakan sekerja saya”.
Rakan sekerjanya difahamkan berniat jahat kerana bertindak merakamkan perbualan peribadinya dan mendedahkannya sehingga dia akhirnya dipecat.
Kali kedua pula adalah apabila penyelianya mahukan pekerja yang boleh dipercayai. Setelah berjaya mengharungi pelbagai kesulitan bersama, dia pula diminta meninggalkan syarikat.
Pemecatannya pada kali ketiga sangat memberi kesan padanya. “Saya sentiasa positif dengan kerja jadi saya telah dianiaya”.
Ini kerana penyelia di syarikat tempatnya bekerja cuba untuk memburukkannya di mata majikan, walaupun hakikatnya dia cukup komited menjalankan tanggungjawabnya.
“Saya jadi takut untuk ke tempat kerja. Penyelia saya sengaja beri tekanan, kerja berlebihan pada saya. Saya bimbang kehilangan kerja jadi saya terima sahaja”.
Oleh kerana beban kerja yang kian bertambah, tahap kesihatannya mula bermasalah. Keresahan melampau menyebabkan iritasi pada usus dan cirit-birit.
“Saya hilang 7 kilogram dalam masa tiga bulan. Mungkin ada yang seronok dapat hilang berat badan, tetapi ia sama sekali tidak menggembirakan”.
Dia kemudian meminta cuti tanpa gaji kerana ingin berehat seketika namun ditolak. Penyelia berkata bahawa syarikat tidak membenarkan pekerja meminta cuti tanpa gaji.
Foto hiasan/Pinterest
Hubungan yang tidak begitu baik dengan penyelia akhirnya membuatkan dia akhirnya diarahkan untuk tidak perlu hadir ke pejabat sehingga diberitahu.
“Saya fikir kecewa bercinta paling menyedihkan namun sebenarnya ‘dicutikan’ sebegini lebih perit. Walaupun saya pernah beberapa kali dipecat, namun kali ini meninggalkan trauma”.
Selepas ‘dicutikan’ tanpa gaji, dia langsung tidak menghubungi sesiapa dalam masa sebulan. “Panggilan ibu pun tidak diangkat. Saya asyik menangis sambil mempersoalkan mengapa ini terjadi”.
Namun lama kelamaan, dia sedar bahawa diri yang sebenar adalah cerminan pada kehidupan dan ianya bukanlah ditentukan oleh pekerjaan.
Keluarga, minat dan kenalan menjadi ‘penawar’ baginya menghadapi dugaan itu. “Terima kasih atas ‘kuasa’ ini, saya dapat perbaiki diri dan kembali semula ke tempat kerja”.
Setelah setahun, dia telah dinaikkan pangkat menjadi ketua pengarang yang diberi tugas untuk mengendalikan laman web popular terbesar di Taiwan.
Namun hari tidak selalunya cerah, dia kemudian sekali lagi dipecat kerana perselisihan idea. Akan tetapi kali ini, dia tenang.
Foto hiasan/Pinterest
Melakukan kerja dengan baik di tempat kerja bermaksud kemampuan diri yang bagus namun ia tidak berupaya untuk menzahirkan diri anda yang sebenar.
“Sebelum ini, saya terlalu menjaga perspektif dan penilaian orang lain terhadap saya, tanpa mengira kebahagiaan sendiri”.
“Tidak kira berjaya atau gagal, anda boleh cintakan kerja anda tetapi anda perlu lebih mencintai diri sendiri. Kerja bukanlah satu-satunya aspek yang mengindahkan hidup kita”.
“Cepat atau lambat, saya akan bersara. Tapi kehidupan adalah seumur hidup. Anda mesti tahu bahawa aura yang dibawa oleh kerja bukan milik anda”.
“Yang benar-benar bersinar adalah intipati dan cita-cita anda untuk menjalani kehidupan yang ideal”, katanya lagi.
Adalah lebih penting untuk menghadapi dan menyeimbangkan mentaliti kehidupan dan juga kerja. “8 jam kerja, 8 jam rehat dan baki 8 jam lagi uruskan kehidupan kita, cukup 24 jam sehari”.
Keseimbangan antara kerja, rehat dan kehidupan adalah satu kitaran yang sempurna. Jika ketiganya seimbang dan stabil, ia sudah tentu tidak memudaratkan, terutamanya aspek kesihatan kita.