Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikuatkuasakan di seluruh negara bermula 12 Mei ini.
Menerusi satu kenyataan, larangan merentas daerah dan negeri serta larangan aktiviti sosial, sukan dan pendidikan pula berkuatkuasa 10 Mei hingga 6 Jun.
“Dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian dilaporkan setakat 10 Mei lalu, Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga COVID-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional”.
Selain itu, terdapat larangan baru berkaitan Aidilfitri, di mana aktiviti ziarah rumah ke rumah dan juga ke kubur adalah tidak dibenarkan bermula 12 Mei hingga 7 Jun.
“Data dan sains terus menunjukkan bahawa aktiviti-aktiviti perhimpunan yang menyukarkan penjarakan sosial dan keberadaan orang ramai dalam ruang yang sesak menjadi punca utama penularan COVID-19,” katanya.
Namun demikian, semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi pada sepanjang tempoh berkenaan.
“Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah”.
Bernama/Twitter
Sementara, had bilangan jemaan yang sama turut terpakai untuk solat fardu dan juga solat Jumaat.
“Operasi rumah ibadat bukan Islam juga akan diperketatkan dan SOP bagi rumah ibadat bukan Islam ditetapkan oleh Kementerian Perpaduan”.
Tambah beliau, standard prosedur operasi (SOP) terperinci bagi semua larangan dan arahan akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dalam pada itu, kerajaan akan terus menggunakan menggunakan sistem amaran awal Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) untuk memantau premis dan kawasan COVID-19.