India mencatatkan kes COVID-19 yang tinggi dan berada pada jumlah 300,000 kes dalam tempoh 24 jam untuk enam hari berturut-turut.
Selain itu, kes kematian turut meningkat dengan mendadak. Mayat pesakit COVID-19 dilaporkan bergelimpangan di luar pusat pembakaran mayat, sementara menunggu giliran.
Malah, ada mayat yang disimpan di dalam kereta atau diletakkan di tepi jalan susulan semua pusat pembakaran mayat beroperasi melebihi kapasiti.
Dalam pada itu, negara lain turut menghulurkan bantuan ke India. Britain misalnya, menghantar ventilator dan peralatan oksigen manakala Amerika Syarikat berjanji untuk menghantar jutaan dos vaksin AstraZeneca.
Media antarabangsa turut memaparkan imej pembakaran puluhan mayat di tempat letak kenderaan yang digunakan sebagai pusat pembakaran sementara di New Delhi.
Koordinator pembakaran mayat, Jitender Singh Shanty menjelaskan pusat pembakaran mayat kelolaannya menerima ketibaan mayat yang berterusan.
“Setiap hari, lebih ramai yang mati akibat COVID-19 dan jika ini berterusan, kita terpaksa membakar mayat di atas jalan kerana tiada tempat lagi”.
Dia yang menguruskan pembakaran 100 mayat dalam sehari berkata, “Saya tidak pernah menjangkakan bahawa kita akan berdepan dengan malapetaka sebegini besar”.
India yang terkenal sebagai ‘farmasi dunia’ berikutan menjadi pengeluar ubat generik terbesar global, kini tidak mampu lagi untuk memenuhi permintaan ubat anti-viral seperti remdesivir.
Walaupun kebanyakan doktor berpendapat bahawa ubat itu tidak memberi kesan dalam rawatan COVID-19, namun ia masih disyor untuk digunakan di sebahagian besar hospital.