Sejak kecil lagi, kita diterapkan dengan nilai sentiasa menjaga kebersihan diri dan juga persekitaran dengan melakukan aktiviti gotong-royong. Namun begitu, bukan semua individu gemar melakukan kerja amal sebegini kerana ianya kotor dan meletihkan.
Namun baru-baru ini, sekumpulan sukarelawan telah berkongsi kejayaan mereka mengumpul 32 kilogram sampah sarap di sekitar kawasan Cyberjaya hanya dalam tempoh satu jam!
Aktiviti ini telah dikongsikan di Twitter oleh seorang pemuda warga Jepun yang dikenali sebagai @NanaCyber2. Nana merupakan seorang pelajar Jepun yang menetap di situ dan dikenali ramai kerana sering berkongsi rutinnya dengan mengutip sampah di sekitar Cyberjaya.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik pada 10 April itu, Nana bersama 14 sukarelawan yang lain telah melakukan aktiviti gotong-royong itu di Taman Mini Cyberjaya. Siapa sangka dalam tempoh 60 minit sahaja, mereka berjaya menemui pelbagai jenis sampah seberat 32.3 kilogram! Antara sampah yang ditemukan adalah:
- Botol plastik – 59
- Tin aluminium – 10
- Puntung rokok – 168
- Penyedut minuman – 14
- Cawan plastik – 21
- Botol kaca – 17
- Tali pemotong rumput – 97
Projek gotong-royong yang dinamakan sebagai GPS Cleanup#1 ini membuatkan ramai yang terkejut terutamanya apabila mengetahui sebanyak 168 puntung rokok berjaya ditemui di dalam taman mini tersebut. Satu penemuan yang benar-benar mengejutkan!
Terima kasih diucapkan kepada Nana dan rakan-rakan sukarelawan lain kerana sudi berhempas pulas dalam membersihkan alam sekitar. Semoga kita juga mampu untuk mencontohi mereka di masa hadapan.