Sekurang-kurangnya seorang peruncit dalam talian di China bertindak ‘menolak’ produk H&M tatkala serangan media sosial ke atas syarikat Sweden itu berikutan kenyataan syarikat itu yang ‘sangat prihatin’ tentang laporan buruh paksa di wilayah barat laut Xinjiang.
Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Britain dan Kanada pada hari Isnin mengenakan sekatan terhadap pegawai China yang menuduh mereka melakukan pelanggaran hak asasi manusia di Xinjiang. China membalas dengan sekatan ke atas penggubal undang-undang dan institusi Eropah.
Terdahulu dalam satu kenyataan, H&M mengatakan mereka sangat prihatin dengan laporan daripada organisasi masyarakat sivil dan media yang termasuk tuduhan buruh paksa dan mereka mengatakan bekalan produk mereka tidak dibekalkan dari Xinjiang.
Aktivis dan beberapa ahli politik Barat menuduh China menggunakan penyiksaan, kerja paksa dan pensterilan umat Islam Uyghur di Xinjiang.
Laporan media mengenai pernyataan H&M difahamkan sudah lama dikeluarkan iaitu pada tahun lepas dan tidak jelas mengapa ianya kembali hangat diperkatakan masyarakat.
Pada 24 Mac 2021, kedai rasmi H&M di Alibaba’s Tmall, iaitu platform e-dagang tidak dapat diakses. People’s Daily rasmi melaporkan bahawa carian untuk produk H&M di platform JD.com dan Pinduoduo tidak lagi menunjukkan hasil.
Malah pihak Reuters pula tidak dapat menentukan sama ada produk seperti itu ada sebelumnya. Alibaba, JD.com dan Pinduoduo dalam pada itu tidak memberikan sebarang respon mengenainya.
China merupakan pasaran keempat terbesar H&M dengan penjualan 2.9 bilion Krona Sweden ($339 juta) dalam 12 bulan hingga November 2020.
Dalam kenyataannya, H&M turut mengatakan bahawa pihaknya akan menghentikan hubungannya dengan pembekal China yang terlibat dengan dakwaan melakukan buruh paksa.
Sementara itu, H&M China berkata bahawa ia menghormati pengguna China dan komited untuk pelaburan dan pembangunan jangka panjang di China. Mereka juga tidak mendapatkan bekalan kapas secara langsung daripada mana-mana pembekal.
“H&M Group sentiasa menguruskan rantaian bekalan global kami secara terbuka dan telus, memastikan pembekal kami di seluruh dunia mematuhi komitmen kelestarian kami seperti Garis Panduan OECD untuk Tingkah Laku Perniagaan yang Bertanggungjawab dan tidak mewakili sebarang kedudukan politik”.