Pembelian rumah yang pernah diduduki semestinya banyak memberikan ‘masalah’ buat para pembeli namun tidak buat pasangan di Amerika Syarikat ini.
Semasa Jane Pearson dan suaminya membuat tawaran untuk membeli rumah itu, mereka diberitahu bahawa terdapat seekor kucing yang tinggal di rumah berkenaan.
Pemilik rumah sebelum ini yang berusia 89 tahun juga sempat bergurau bahawa kucing mereka yang bernama Hidey itu mungkin akan disertakan sekali dalam pakej pembelian.
“Saya pandang suami saya dan berkata, kucing ini tidak boleh dihantar ke pusat pelindungan. Kita mesti menjaganya dan suami saya terus bersetuju”.
Hidey sangat disayangi oleh pemilik lamanya itu namun isteri kepada pemilik lama itu akhirnya didiagnos dengan penyakit Alzheimer.
“Dia meninggal 8 minggu sebelum kami membeli rumah itu dan sebelum ini, dia dirawat di rumah jagaan. Hidey sering dibawa oleh si suami untuk melawat insan kesayangannya.
Melihat kepada kehilangan insan tersayang yang dialami Hidey, Jane tidak mahu menjadi penyebab Hidey kehilangan satu-satunya rumah tempat kucing itu berlindung.
Ini kerana, selama 8 tahun hidup, Hidey hanya menetap di situ sahaja. Semasa Jane berpindah masuk ke rumah tersebut, Hidey membawa diri ke atas loteng.
Hidey mengambil masa beberapa hari berada di atas loteng sehinggalah kucing itu cukup kuat untuk melihat pemilik baru rumahnya itu.
“Saya hinggakan memanjat dan membawanya turun kerana saya bimbang dia tidak makan. Dia ada menghasilkan bunyi agresif namun tidak menggigit”.
Jane turut mengajar anaknya untuk perlahan-lahan berinteraksi dengan Hidey. Biar Hidey menghidu bau mereka dahulu sebelum berani menyentuh dan mengusapnya.
Tidak lama kemudian, Hidey dan anak Jane menjadi semakin rapat. Hidey akan tidur bersama dengan anak perempuan Jane di atas katilnya setiap malam.
Syukurlah Hidey nampaknya boleh menerima kehadiran insan baru yang sangat menyayanginya sama seperti tuannya yang lama.
“Saya sangat lega bahawa Hidey boleh hidup dengan kami. Kini, Hidey akan datang dan mahu bermanja jika saya sedang membuat kerja di meja”.
“Malah Hidey juga gemar duduk di atas peha saya”, akhiri Jane girang.