Gas LPG merupakan jenis gas popular yang digunakan oleh lebih 80 peratus rakyat Malaysia ketika memasak. Tapi, ramai yang tidak tahu cara penyimpanan yang tidak betul sebenarnya boleh mengundang bahaya kepada pengguna.
Kerana penyimpanan tong gas di tempat yang bertutup akan memudahkan tong gas tersebut berkemungkinan untuk meletup kerana malang tidak berbau!
Tong gas boleh meletup jika disimpan dalam kabinet dapur.
Menurut Pengurus Jualan Kawasan Wilayah LPG Petronas Khalil Fairy Baharim kepada Harian Metro, sifat asas gas LPG iaitu butane dan propane, adalah tidak berbau, tidak berwarna serta lebih berat daripada udara dan ringan berbanding air.
Oleh itu katanya, sejenis bahan kimia khas yang bertindak balas secara positif dengan komponen LPG dimasukkan yang menyebabkan apabila berlaku kebocoran gas, ia akan mengeluarkan bau pelik atau busuk agar kebocoran gas akan mudah dikesan.
“Di rumah, kebanyakannya menggunakan hos gas plastik lut sinar yang mudah didapati namun ia tidak disyorkan kerana hos jenis itu akan mengeras dan patah jika digunakan agak lama. Malah ia akan mengembang dan longgar jika terdedah kepada keadaan panas, selain mudah terbakar, yang bukan untuk diguna pakai bagi memasak menggunakan gas LPG,” katanya.
“Sebaliknya disyorkan menggunakan hos getah yang mempunyai ketahanan tinggi yang biasanya diperbuat daripada getah lebih tebal dan berwarna hitam. Pastikan ia mempunyai tanda pengesahan SIRIM,” tambahnya.
Panduan keselamatan di dapur yang disyorkan Petronas:
1.Pastikan jarak antara silinder gas dengan alat memasak antara 1 ke 1.5 meter. Alat memasak perlu diletakkan lebih tinggi dari silinder.
2.Jangan simpan silinder gas di tempat tertutup dan tidak mempunyai pengaliran udara yang baik.
3.Bau pelik atau busuk daripada silinder gas bermakna terdapat kebocoran. Tutup semua punca api dan jangan gunakan peralatan elektrik.
4.Guna air sabun untuk mengesan kebocoran gas. Jika terdapat buih, bermakna terdapat kebocoran berlaku. Buka alat atur gas dan alihkan silinder ke tempat yang mempunyai pengudaraan yang baik.
5.Nyalakan api sebelum menghidupkan alat memasak.
6.Sentiasa pastikan pengudaraan yang baik dan jangan tinggalkan dapur ketika sedang memasak.
7.Tutup peralatan memasak dan buka injap alat atur gas jika tidak digunakan.
Apa yang perlu dan tidak perlu dilakukan:
1.Pastikan tong gas memasak sentiasa dalam keadaan menegak dengan injapnya ke atas. Jangan baringkan tong gas anda.
2.Buka pintu atau tingkap semasa memasak untuk pengaliran udara.
3.Jangan letakkan kuali panas atau benda panas yang lain di atas tong gas memasak.
4.Jauhkan kedudukan langsir daripada dapur memasak.
5.Jangan tinggalkan apa yang anda tengah masak tanpa pengawasan.
6.Jika anda ingin meninggalkan rumah untuk satu jangka masa panjang, mati dan tarik keluar kepala gas.
7.Pastikan kedudukan dapur memasak anda lebih tinggi dari tong gas.
8.Sebelum memasang kepala gas, pastikan ada gelung getah dalam injap tong gas.
Cara mengesan kebocoran gas:
1.Jika anda terhidu bau gas bermakna terdapat kebocoran gas.
2.Sesetengah serangga sukakan bau gas dan mereka akan mengerumuni kawasan yang terdapat kebocoran gas.
3.Dalam sesetengah keadaan, anda juga akan dapat mendengar bunyi berdesir menandakan terdapat kebocoran gas.
4.Cara terbaik mengesan kebocoran gas pada saluran gas atau sambungan alat atur gas ialah dengan menggunakan air sabun dan perhatikan jika terdapat gelembung buih sabun pada keseluruhan saluran gas tersebut.
Sentiasa berhati-hati dan utamakan keselamatan.