Bawang putih merupakan perencah yang paling banyak digunakan dalam masakan tidak kira sama ada masakan Melayu, Cina, India mahupun masakan Barat. Namun, bagi sesiapa yang sering ke dapur, mengupas bawang putih bukanlah satu tugas yang mudah.
Anda perlu mengupas kulitnya yang berlapis-lapis dan nipis dan kerja ini pastinya akan memakan masa yang lama! Hal ini juga mungkin menjadi penyebab mereka segelintir individu lebih gemar untuk membeli bawang putih yang sedia dikupas meskipun harganya agak tinggi.
Namun jangan risau. Anda kini mampu untuk menyediakan makanan tanpa perlu mengambil masa yang lama dalam mengupas bawang putih. Dalam tempoh beberapa saat sahaja, anda akan dapat menikmati bawang putih yang sedia digunakan menerusi kaedah yang tular ini.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik oleh @xwowduck di laman sosial TikTok, anda akan dapat menyaksikan tips mudah untuk mengupas bawang putih sepantas 12 saat sahaja! Menurut @xwowduck, tips yang mudah ini diperolehi setelah melihat ibu mertuanya yang berasal dari Asia menyediakan hidangan menggunakan bawang putih.
Apa yang anda perlu lakukan adalah dengan membelah labu bawang putih kepada dua bahagian.
Setelah itu, susun belahan bawang putih anda dengan bahagian dalam menghadap papan pemotong.
Kemudian, anda ambil pisau pemotong daging seperti di dalam video dan ketuk bawang putih tersebut dengan satu ketukan yang padu.
Hasilnya, kulit bawang putih akan tertanggal dengan mudah hanya dengan tiga langkah yang cukup ringkas.
Penularan video ini telah mendapat sambutan bukan sahaja di TikTok tetapi juga di pelbagai platform media sosial lain seperti Twitter. Mungkin anda juga boleh menjadi sebahagian daripada mereka dan mencuba tips yang hebat ini.