Siapa gemar menikmati kerepek kentang? Rasanya majoriti akan mengatakan ya kerana siapa sahaja yang tidak sukakan makanan yang sedap. Di pasaran, produk kerepek kentang memiliki pelbagai perisa istimewa bagi memenuhi citarasa pelanggan yang berbeza. Ada kerepek kentang perisa original, BBQ, pedas, krim masam dan bawang serta lain-lain lagi.
Kebiasaannya, kami akan berkongsi video resepi daripada Taste Life namun berbeza untuk kali ini, kami akan menunjukkan kepada anda cara-cara untuk menghasilkan kerepek kentang versi mini yang sungguh comel. Bukan sahaja anda berpeluang untuk melihat kerepek kentang bersaiz kecil, tetapi segala peralatan memasak seperti sudip, dapur dan juga mesin pengisar juga adalah dalam saiz kecil molek!
Kami akan jelaskan langkah atau cara untuk menyediakan kerepek kentang mini ini satu persatu. Pasti akan menjadi satu tontonan yang menghiburkan.
#1 Kupas kulit kentang
#2 Hiris kentang yang telah dibasuh bersih secara halus dengan menggunakan pemarut
#3 Rendam kentang yang telah dihiris ke dalam mangkuk berisi campuran air dan garam selama satu jam
#4 Selepas sejam, anda boleh toskan hirisan kentang. Jemur di bawah cahaya matahari bagi mengeringkan kandungan air pada kentang tersebut
#5 Setelah itu, panaskan minyak di dalam kuali. Pastikan anda menggunakan minyak dalam kuantiti yang banyak untuk tujuan menggoreng
#6 Goreng hirisan kentang anda dalam minyak panas sehingga ia bertukar warna menjadi keperangan. Setelah garing, angkat dan ketepikan.
#7 Untuk bahan perasa krim masam dan bawang, anda perlu mengisar susu tepung, serbuk keju, daun pasli, gula, garam, serbuk bawang merah, serbuk bawang putih, serbuk lada hitam dan cuka. Kisar sehingga halus. Taburkan sedikit di atas kerepek kentang yang telah digoreng.
#8 Setelah itu, masukkan ke dalam bungkusan untuk mengekalkan kerangupannya.
Itulah dia proses menghasilkan kerepek kentang pelbagai perisa dalam versi mini. Seronok pula tengok perkakasan dapur yang comel seperti dalam video ini. Teringat zaman kanak-kanak dahulu ketika kita suka bermain masak-masak namun bezanya kali ini, hasil masakan itu betul-betul menjadi dan boleh dimakan!