Kepopularan anak badak air yang tular baru-baru ini telah meningkatkan pendapatan zoo secara mendadak kurang daripada tiga minggu.
Pendapatan Zoo Terbuka Khao Kheow naik mendadak hasil daripada jualan tiket bernilai 12.97 juta Baht (RM1.64 juta) untuk 19 hari pertama September.
Difahamkan sekitar 81,786 orang pengunjung telah datang ke zoo untuk melihat sendiri anak badak air yang dikenali sebagai Moo Deng.
Menurut pengarah zoo tersebut, Narongwit Chodchoy, bilangan pelawat meningkat sebanyak 50 peratus susulan orang ramai berminat terhadap anak badak air ini.
Bangkok Post melaporkan Zoo Terbuka Khao Kheow menjangkakan populariti Moo Deng ini akan berterusan sepanjang tahun.
Pihak zoo berkenaan meramalkan jumlah bilangan pelawat akan melebihi satu juta dan zoo akan beroleh pendapatan sebanyak 200 juta Baht (RM25.2 juta).
Tambahan itu pula, dijangkakan lebih ramai pelawat asing terutamanya dari negara-negara Asia seperti Jepun, China dan Korea Selatan akan membanjiri zoo berkenaan.
Baru-baru ini, zoo tersebut melancarkan siaran langsung 24 jam yang memaparkan pelbagai haiwan yang mereka pelihara.
Bangkok Post dalam kenyataan lain berkata, lebih ramai pelawat datang berkunjung antara pukul 7.45 pagi dan 9 pagi untuk melihat Moo Deng, ketika sesi penyusuan ibunya, Jona, pada waktu tengah hari dan apabila Moo Deng lebih aktif semasa kakitangan membersihkan kandangnya.
Mereka yang ingin melihat Moo Deng secara langsung perlu beratur dan hanya dibenarkan menonton anak badak air ini selama lima minit semasa waktu puncak.
Jika pengunjung ingin melihat lebih lagi anak badak air ini, mereka perlu beratur semula.
Moo Deng menjadi tular sejak Ogos lalu selepas gambar-gambarnya yang menunjukkan perwatakannya yang ceria tersebar di media sosial.
Pada 8 September lalu, Zoo Terbuka Khao Kheow mengumumkan pelancaran koleksi pakaian yang diilhamkan oleh Moo Deng sebagai sebahagian daripada barangan zoo.
Untuk makluman, Mandai Wildlife Reserve memaklumkan bahawa badak air pygmy ini diklasifikasikan sebagai spesies terancam.
Kumpulan badak air ini boleh hidup sehingga 43 tahun di bawah penjagaan manusia dan endemik kepada di bahagian atas hutan Guinea di Afrika Barat.
Kulit badak air yang kehitaman kelabu itu membantu mereka untuk kekal sejuk dalam iklim lembap. Disebabkan mereka mudah terhidrat di bawah matahari, mereka banyak menghabiskan masa berendam di dalam air.
Badak air jenis pygmy ini tidak mempunyai kelenjar peluh, tetapi kulit mereka mengeluarkan cecair berwarna merah jambu. Tujuannya adalah untuk melindungi kulit daripada matahari, memberikan penampilan yang lebih berkilat dan basah.