TOKYO: Tsunami kecil melanda pulau terpencil Jepun, Hachijojima pada hari Selasa, 24 September, kata agensi cuaca negara, selepas gempa bumi berukuran 5.6 magnitud melanda berhampiran gugusan Kepulauan Izu.
Ombak setinggi 50 cm (20 inci) melanda Hachijojima kira-kira jam 9 pagi, selepas Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran tsunami untuk wilayah selatan Tokyo.
Tsunami kecil itu melanda kira-kira 45 minit selepas gempa bumi, menurut Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) yang dikesan pada kedalaman cetek iaitu 11.7 kilometer (tujuh batu).
Di Pulau Miyakejima, gelombang tsunami yang lebih kecil iaitu 10 cm telah dilaporkan, kata JMA.
Kira-kira 25,000 orang tinggal di pulau-pulau kecil Pasifik di selatan Tokyo.
Beberapa penduduk memberitahu NHK bahawa mereka tidak merasai gempa bumi, dan tidak ada laporan segera mengenai kerosakan.
JMA berkata, pantai Pasifik Jepun yang luas dari Chiba dekat Tokyo ke Okinawa dekat Taiwan juga mungkin melihat sedikit perubahan pada permukaan laut susulan gempa bumi berkenaan.
Jepun terletak di atas empat plat tektonik utama dan mengalami kira-kira 1,500 gempa bumi setiap tahun, yang kebanyakannya kecil.
Kesannya secara am adalah terkawal walaupun dengan gegaran yang lebih besar ekoran teknik pembinaan bangunan dan prosedur kecemasan yang diamalkan dengan baik oleh negara itu.
Tetapi potensi gempa bumi mega dengan anggaran magnitud 8-9 mempunyai kira-kira 70 peratus kebarangkalian untuk berlaku dalam tempoh 30 tahun akan datang, kata kerajaan.
Ia boleh menjejaskan sebahagian besar pantai Pasifik dan mengancam kira-kira 300,000 nyawa dalam senario terburuk, kata pakar.
Pada 2011, gempa bumi dasar laut berukuran 9.0 magnitud di timur laut Jepun mencetuskan tsunami yang mengakibatkan kira-kira 18,500 kematian atau mangsa hilang.