Menurut Ketua Pengarah Jabatan Metreologi Malaysia (METMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip dalam satu kenyataan, permulaan fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya (MBD) yang bermula sejak 17 Mei lalu.
Fasa ini akan menyaksikan negara menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah dan berpotensi menyebabkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa singkat.
“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.”
“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” Katanya.
Justeru itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada sepanjang tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh METMalaysia menerusi laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan.
“Orang ramai juga boleh menghubungi hotline jabatan di 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” Katanya.
Pendapatan Zoo Terbuka Khao Kheow naik mendadak hasil daripada jualan tiket bernilai 12.97 juta Baht (RM1.64 juta) untuk 19 hari pertama September.
Difahamkan sekitar 81,786 orang pengunjung telah datang ke zoo untuk melihat sendiri anak badak air yang dikenali sebagai Moo Deng.
Menurut pengarah zoo tersebut, Narongwit Chodchoy, bilangan pelawat meningkat sebanyak 50 peratus susulan orang ramai berminat terhadap anak badak air ini.
Bangkok Post melaporkan Zoo Terbuka Khao Kheow menjangkakan populariti Moo Deng ini akan berterusan sepanjang tahun.
Pihak zoo berkenaan meramalkan jumlah bilangan pelawat akan melebihi satu juta dan zoo akan beroleh pendapatan sebanyak 200 juta Baht (RM25.2 juta).
Tambahan itu pula, dijangkakan lebih ramai pelawat asing terutamanya dari negara-negara Asia seperti Jepun, China dan Korea Selatan akan membanjiri zoo berkenaan.
Baru-baru ini, zoo tersebut melancarkan siaran langsung 24 jam yang memaparkan pelbagai haiwan yang mereka pelihara.
Bangkok Post dalam kenyataan lain berkata, lebih ramai pelawat datang berkunjung antara pukul 7.45 pagi dan 9 pagi untuk melihat Moo Deng, ketika sesi penyusuan ibunya, Jona, pada waktu tengah hari dan apabila Moo Deng lebih aktif semasa kakitangan membersihkan kandangnya.
Mereka yang ingin melihat Moo Deng secara langsung perlu beratur dan hanya dibenarkan menonton anak badak air ini selama lima minit semasa waktu puncak.
Jika pengunjung ingin melihat lebih lagi anak badak air ini, mereka perlu beratur semula.
Moo Deng menjadi tular sejak Ogos lalu selepas gambar-gambarnya yang menunjukkan perwatakannya yang ceria tersebar di media sosial.
Pada 8 September lalu, Zoo Terbuka Khao Kheow mengumumkan pelancaran koleksi pakaian yang diilhamkan oleh Moo Deng sebagai sebahagian daripada barangan zoo.
Untuk makluman, Mandai Wildlife Reserve memaklumkan bahawa badak air pygmy ini diklasifikasikan sebagai spesies terancam.
Kumpulan badak air ini boleh hidup sehingga 43 tahun di bawah penjagaan manusia dan endemik kepada di bahagian atas hutan Guinea di Afrika Barat.
Kulit badak air yang kehitaman kelabu itu membantu mereka untuk kekal sejuk dalam iklim lembap. Disebabkan mereka mudah terhidrat di bawah matahari, mereka banyak menghabiskan masa berendam di dalam air.
Badak air jenis pygmy ini tidak mempunyai kelenjar peluh, tetapi kulit mereka mengeluarkan cecair berwarna merah jambu. Tujuannya adalah untuk melindungi kulit daripada matahari, memberikan penampilan yang lebih berkilat dan basah.
Bumi akan menerima pendamping kosmik baru kerana satu asteroid mini sedang dalam laluan untuk memasuki orbit planet ini selama kira-kira dua bulan.
Bermula 29 September, ‘bulan mini’ ini akan membuat satu orbit mengelilingi Bumi sebelum bergerak ke rantau lain dalam sistem suria.
Asteroid selebar 33 kaki (10 meter), yang dinamakan 2024 PT5, mula dikesan pada 7 Ogos oleh Asteroid Terrestrial-Impact Last Alert System (ATLAS) milik NASA.
Gambar Hiasan / buradaki / Shutterstock
Penyelidik menjejaki trajektori ‘bulan-mini’, dan mendapati ia akan menetap secara singkat di medan graviti Bumi sehingga 25 November.
Apabila objek angkasa menghampiri Bumi iaitu asteroid dan komet – berada dalam jarak 28 juta batu dari orbit Bumi, ia mengikuti laluan berbentuk ladam.
Orbit membawa objek ini lebih dekat ke planet bumi pada kelajuan relatif rendah, yang buat sementara waktu terperangkap di orbit Bumi seperti yang akan dialami 2024 PT5.
Penyelidikan terdahulu menunjukkan batu angkasa ini tidak menimbulkan ancaman kepada Bumi, tetapi penyelidik dinamik asteroid dari Universiti Complutense Madrid mengesyaki ia boleh menetap buat sementara waktu di medan graviti Bumi.
Ahli astronomi membuat simulasi bagaimana rupa asteroid 2024 PT5 di angkasa lepas. (Gambar Daily Mail)
Para penyelidik menganalisis data mengenai saiz asteroid, kelajuan perjalanan dan trajektori anggaran laluannya dalam tempoh dua bulan selepas penemuannya pada bulan Ogos.
Kajian itu mendapati batu angkasa berkenaan akan memasuki orbit Bumi sebagai bulan mini bermula 29 September hingga 25 November, mengelilingi bumi hanya sekali dalam masa 53 hari sebelum beredar kembali ke angkasa.
Tony Dunn, ahli astronomi amatur yang mencipta simulasi orbit, memuat naik gambaran animasi laluan 2024 PT5 yang akan diambil semasa ia mengelilingi bumi. Dunn tidak terlibat dalam kajian itu.
Memerhatikan trajektori asteroid juga membolehkan penyelidik mengesannya kembali ke asal-usulnya.
Mereka membuat kesimpulan bahawa ia berkemungkinan besar berasal dari lilitan asteroid Arjuna, sekumpulan asteroid dengan orbit mengelilingi matahari yang serupa dengan Bumi.
Para penyelidik menerbitkan penemuan mereka dalam jurnal Research Notes of the American Astronomical Society.
Tetapi Paul Chodas, pengarah Pusat Kajian Objek Berdekatan Bumi di Makmal Jet Propulsion (JPL) milik NASA yang tidak terlibat dalam kajian itu, memberitahu New York Times bahawa 2024 PT5 mungkin mempunyai cerita asal-usul yang berbeza.
Pergerakan masa lampau asteroid berkenaan mencadangkan ia “mungkin serpihan ‘ejecta’ daripada impak pada bulan,” kata Chodas, bermakna bulan mini ini mungkin serpihan yang terpecah keluar dari bulan sebenar.
Asteroid 2024 PT5 bukanlah yang pertama berkeliaran di planet bumi untuk seketika. Malah, batu angkasa ini mengikuti laluan sama dengan asteroid terdahulu yang dipanggil 2022 NX1, yang menjadi bulan mini untuk tempoh singkat pada 2022.
Tetapi terdapat beberapa percanggahan pendapat mengenai sama ada asteroid ini secara teknikal dikira sebagai bulan mini sebenar. Untuk berkelayakan menerima gelaran bulan, asteroid mesti melengkapkan sekurang-kurangnya satu orbit penuh mengelilingi Bumi.
“Ia pasti tidak akan melengkapkan satu revolusi penuh dalam sistem Bumi-Bulan pada musim luruh ini, jadi saya tidak pasti boleh mengklasifikasikannya sebagai bulan mini,” kata Lance Benner, penyiasat utama program penyelidikan radar asteroid di JPL NASA , memberitahu New York Times. Benner juga tidak terlibat dalam kajian itu.
Tidak kira bagaimana anda semua mengklasifikasikan pelawat berorbit ini, asteroid seperti 2024 PT5 berfungsi sebagai peringatan akan semua lalu lintas angkasa yang mendesing melalui Bumi dan kepentingan menyelidik interaksinya dengan planet kita.
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dalam satu kenyataan, ketua pegawai eksekutif Global Ikhawan Services and Business Holding (GISBH) itu antara 19 individu yang ditahan oleh Bahagian D8 Bukit Aman, Pasukan Khas Siasatan Bersepadu daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D14 Bukit Aman.
Penahanan tersebut adalah hasil pemeriksaan serentak yang dilakukan di empat unit kediaman di Bukit Bintang di sini, awal pagi tadi.
12 lelaki dan tujuh wanita berumur antara 25 hingga 65 tahun pula direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tindakan mengeksploitasi dan pemerdagangan kanak-kanak.
Kes disiasat mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyuludupan Migran 2022.
Penangkapan itu dilakukan susulan penahan lima individu termasuk anak pengurusan tertinggi syarikat itu di Bukit Kayu Hitam menghala ke Thailand, semalam.
Selain itu, polis turut merampas dua buah kenderaan rekreasi (motorhome) yang mempunyai lambang syarikat GISBH yang dipercayai digunakan untuk meloloskan diri ke negara jiran.
Lima individu berusia 30 hingga 41 tahun itu juga telah ditahan dan direman selama seminggu di Mahkamah Shah Alam hari ini.
Jelas Razarudin lagi, beliau memberi jaminan akan meneruskan siasatan melibatkan GISBH secara berperingkat ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu di Seremban, tiga orang pembantu pelajar sebuah madrasah di Kuala Pilah mengaku tidak bersalah di Mahkmah Sesyen di sini atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima orang kanak-kanak pada 2022 dan 2023.
Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21, Muhammad Khunais Fathie Khabil, 20, dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mereka bertiga didakwa di bawah Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKKSTKK 2017).
Pendakwaan terbaharu itu menjadikan setakat ini seramai lima individu yang mempunyai kaitan dengan syarikat itu telah dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai tuduhan.
Tuduhan tersebut termasuklah pendakwaan terhadap seorang remaja perempuan berusia 19 tahun pada 12 September lepas atas empat tuduhan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia antara lima hingga enam tahun di sebuah pusat asuhan di Seremban bulan lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama.
Terdahulu, seorang ahli perniagaan, Mohamad Riza Makar, 39, didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita pada 9 September lepas yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
JSJ Bukit Aman melakukan Op Global sejak 11 September dengan menyerbu 20 buah rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH dan berjaya menyelamatkan 402 orang kanak-kanak dan remaja, masing-masing 201 orang lelaki dan 201 orang perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.
Dalam satu kenyataan lain, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan PDRM supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal GISBH.
“Saya mahu siasatan menyeluruh dijalankan dan tindakan segera diambil,” Titah Seri Paduka Baginda yang dimuat naik di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Sultan Ibrahim juga bertitah mengingatkan bahawa perkara berkaitan akidah umat Islam seharusnya dipelihara setiap masa dan tidak boleh dipandang ringan.
“Semua pihak diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau pandangan yang melampau berkaitan isu agama kerana ia amat sensitif dan mesti ditangani dengan berhati-hati,” Titah Yang di-Pertuan Agong.
KUALA LUMPUR: Ombak besar di Pulau Pinang, Pulau Pangkor kejadian luar biasa menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip.
Ujar Mohd Hisham, situasi tersebut terjadi kerana kehadiran bersekali fenomena air pasang besar yang disebabkan oleh perigee iaitu kedudukan bulan hampir dengan bumi dan bulan penuh serta angin barat yang bertiup kencang.
“Hujan berterusan serta keadaan laut bergelora yang berlaku di utara Semenanjung disebabkan angin barat yang bertiup kencang dan bertumpu di kawasan berkenaan,” Katanya kepada Bernama.
Menurut Mohd Hisham, METMalaysia telah menjangka lebih awal keadaan terbabit dengan mengeluarkan Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora di perairan Selat Melaka Utara dan Phuket, Thailand pada 12 September bagi tempoh kuat kuasa bermula Ahad lepas hingga hari ini.
Tambah Mohd Hisham lagi, amaran itu telah dikemas kini semalam dengan tempoh kuat kuasa dilanjutkan hingga Sabtu ini.
“Selain itu, METMalaysia juga telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (WASPADA) pada 13 September bagi tempoh kuat kuasa bermula 15 hingga 19 September di Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Perak bagi kawasan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar,” Katanya.
Justeru, katanya orang awam diminta supaya sentiasa berwaspada dan mendapatkan maklumat terkini keadaan cuaca dengan melayari laman web serta media sosial METMalaysia.
Semalam, tular beberapa kejadian fenomena ombak besar yang melanda kawasan antaranya pesisir Pulau Pinang terutama di sekitar Pantai Bersih di Butterworth.
Klip video yang dirakam peniaga di kawasan Pantai Bersih dan di R&R Bagan Ajam serta menularkannya di media sosial itu memaparkan ombak yang memasuki premis perniagaan sehingga menyebabkan peralatan perniagaan, namun tiada kecederaan berlaku.
Selain Pantai Bersih dan R&R Bagan Ajam yang popular dalam kalangan penduduk untuk bersantai pada waktu malam, beberapa lokasi seperti Padang Kota atau dikenali sebagai Esplanade turut terjejas apabila air laut melimpah masuk hingga medan selera Medan Renong.
Menerusi video tular, kelihatan pelanggan di medan selera itu bertempiaran lari menyelamatkan diri dan barangan mereka daripada basah manakala peniaga bergegas menyelamatkan barangan perniagaan.
Turut tular ialah beberapa video menunjukkan ombak besar dan bergelora di Pulau Pangkor termasuk di Teluk Nipah, Perak.
Tupperware fail bankrap di bawah Bab 11 (Chapter 11) di Amerika Syarikat, selepas bergelut dengan penurunan jualan produknya.
Pada 17 September, syarikat yang berpusat di Orlando, Florida itu mengumumkan bahawa ia akan memohon kelulusan mahkamah untuk memulakan proses penjualan perniagaan serta meneruskan operasi semasa prosiding kebangkrapan berlangsung.
Ketua Pegawai Eksekutif Tupperware, Laurie Ann Goldman, berkata proses ini akan membolehkan syarikat meneruskan “alternatif strategik” untuk menggerakkan transformasinya menjadi perniagaan yang “berfokus digital dan berpandukan teknologi”.
“Pada beberapa tahun terakhir, kedudukan kewangan syarikat telah terjejas teruk disebabkan persekitaran makroekonomi yang mencabar,” Kata Goldman dalam satu kenyataan. “Justeru, kami telah meneroka pelbagai pilihan strategik dan mendapati ini adalah keputusan terbaik untuk masa depan,” Tambahnya.
Goldman menyatakan bahawa syarikat akan terus menawarkan produk berkualiti tinggi kepada pelanggan sepanjang proses ini. Tupperware turut menegaskan bahawa tiada perubahan pada perjanjian perunding jualan bebasnya.
Tupperware telah cuba memulihkan perniagaannya selama kira-kira empat tahun selepas melaporkan penurunan jualan selama enam suku berturut-turut sejak suku ketiga tahun 2021, di mana inflasi yang berterusan menyebabkan pengguna yang berpendapatan rendah dan sederhana kurang berbelanja.
Ditubuhkan pada tahun 1946, pengeluar bekas penyimpan makanan ikonik ini melaporkan kerugian operasi sebanyak $28.4 juta pada tahun 2022, selepas kerugian sebanyak $152.2 juta yang dilaporkan pada tahun sebelumnya.
Jualan bersih Tupperware menurun sebanyak 18 peratus pada tahun 2022 dan syarikat itu melaporkan jumlah hutang sebanyak $705.4 juta untuk tahun tersebut. Penurunan ini disebabkan oleh jualan dan margin operasi yang lebih rendah, serta kadar cukai efektif yang lebih tinggi.
Pada tahun lepas, Tupperware menyatakan “keraguan besar” mengenai keupayaannya untuk terus beroperasi dan menyatakan bahawa ia telah bekerjasama dengan penasihat kewangan untuk mendapatkan pembiayaan tambahan bagi memperbaiki struktur modalnya.
Syarikat itu pada masa tersebut menyatakan bahawa ia sedang berbincang dengan pelabur atau rakan pembiayaan yang berpotensi dan sedang mengkaji portfolio hartanahnya untuk “potensi pelupusan atau transaksi jual-balik pajakan”.
Tupperware turut menyatakan bahawa ia sedang meneroka usaha “penyusunan semula”, pemanfaatan aset tetap, pengurusan tunai, serta pengoptimuman pemasaran dan saluran untuk meningkatkan kecairan kewangannya dalam tahun tersebut.
“Jika syarikat gagal mendapatkan sumber modal yang mencukupi atau pindaan kepada perjanjian kreditnya, pengurusan menjangkakan bahawa syarikat akan kekurangan aliran tunai untuk membiayai operasi dan memenuhi tanggungjawab kewangannya seperti yang diracangan dalam masa terdekat berdasarkan pelan perniagaan semasa,” Menurut dokumen yang difailkan.
Pada Ogos 2023, Tupperware telah mencapai persetujuan muktamad dengan pemberi pinjamannya untuk menyusun semula tanggungan hutangnya dan melantik bank pelaburan Moelis & Co. bagi membantu mencari pilihan strategi lain.
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat satu kes positif cacar monyet atau “monkeypox” (Mpox) membabitkan lelaki tempatan.
Kes yang baru dikesan itu menjadikan 10 kes terkumpul bermula 26 Julai lalu hanya melibatkan Clade II sahaja.
Virus Mpox Clade I dikategorikan sebagai mudah berjangkit dan mempunyai kadar kematian 10 peratus, manakala Clade II pula mempunyai kadar kematian yang lebih rendah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, pesakit Mpox ini menunjukkan gejala demam, sakit tekak dan batuk pada 11 September lalu, manakala ruam pula mula muncul sehari selepas itu.
“Pesakit tiada sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul, kini sedang dalam isolasi dan berada dalam keadaan stabil.”
“Semua kontak bagi pesakit ini sedang dikenal pasti dan status kesihatan mereka akan dipantau mengikut tatacara kendali piawai (SOP) semasa yang ketat,” Katanya.
Mpox diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC) unutk kali kedua pada 14 Ogos lalu susulan penularan virus Clade yang lebih pantas di Republik Demokratik Congo (DRC) dan negara jiran di rantau Afrika.
KKM sudah mengaktifkan Bilik Gerakan Mpox di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan semalam bagi memantau situasi Mpox serta menyelaraskan langkah kesiapsiagaan dan respon yang berkenaan.
Dr Muhammad Radzi berkata, untuk meningkatkan kesediaan dan membolehkan orang ramai meningkatkan kawalan kesihatan kendiri, KKM akan meneruskan hebahan melalui pelbagai saluran media massa dan media sosial.
“Orang ramai juga boleh mengambil langkah termasuk individu berisiko tinggi yang bergejala Mpox seperti demam, bengkak kelenjar limfa dan ruam serta lepuh perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat.”
“Elakkan bersentuhan secara langsung dengan individu disyaki atau disahkan dijangkiti Mpox termasuk hubungan seksual dan amalkan kawalan kesihatan kendiri seperti mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman,” Katanya.
Beliau turut menggesa pengamal perubatan terus peka terhadap individu bergejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutama dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.
“Bagi kes disyaki Mpox, swab lepuh, oral dan sampel darah serta serum perlu dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus Mpox.”
“Kes disyaki Mpox perlu dimaklumkan ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran melalui sistem e-Notifikasi supaya siasatan lanjut serta langkah pencegeahan dan kawalan dapat dijalankan,” Katanya.
Suspek yang disyaki dalam percubaan membunuh bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di West Palm Beach, Florida telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa sebagai Ryan Wesley Routh, 58 tahun.
Beberapa butiran telah disahkan berkaitan Routh, termasuk motif.
Menurut akaun rasmi setakat ini, Routh didakwa mengambil kedudukan di sepanjang pagar perimeter di Padang Golf Antarabangsa Trump di West Palm Beach, di mana dia mempersiapkan rifel AK-47, GoPro, dan dua beg tidak menyerlah.
Ryan Wesley Routh semasa temu bual di perhimpunan di Kyiv, Ukraine, pada 27 April 2022. (Gambar AFPTV/AFP /Getty Images)
Seorang ejen Perkhidmatan Rahsia, yang meronda padang golf di hadapan Trump, ketika berada di lubang kelima, menyedari terdapat rifel diacukan melalui garis pagar dan melepaskan tembakan, di mana Routh melarikan diri. Routh berada antara 370 hingga 460 meter dari Trump, kata pihak berkuasa, dan mempunyai lampiran skop pada rifelnya.
Routh kemudiannya ditahan di laluan I-95 selepas seorang saksi memberikan gambar kenderaannya dan plat lesen kepada penguatkuasa undang-undang.
Routh kini dalam tahanan Jabatan Polis Daerah Martin, di mana dia bakal berhadapan kedua-dua pertuduhan jenayah persekutuan dan negeri.
Insiden itu mungkin bukan pertama kali buat Routh yang terlibat dengan penguatkuasaan undang-undang.
Menurut carian rekod Jabatan Pembetulan Dewasa Carolina Utara, seorang lelaki bernama Ryan Wesley Routh pada 2002 pernah disabitkan bersalah memiliki senjata pemusnah berbahaya, merujuk kepada senapang automatik sepenuhnya, yang diharamkan di Amerika Syarikat pada 1986.
The Epoch Times tidak dapat mengesahkan secara bebas sama ada ia adalah lelaki yang sama bernama Ryan Wesley Routh yang cuba membunuh Trump.
Arkib akaun X di bawah nama yang sama dengan suspek menunjukkan beberapa muat naik dan siaran yang menyatakan sokongan kepada Ukraine, Taiwan dan NATO.
Satu hantaran menyatakan minat untuk membentuk pasukan sukarelawan tentera Afghanistan bagi membantu polis di Haiti. Pemilik akaun juga menyatakan minat untuk membentuk pasukan tentera asing Taiwan terdiri daripada warga Afghanistan yang dilatih NATO.
Akaun itu juga memuat naik semula dua hantaran yang menyokong Ukraine.
Seseorang dengan nama yang sama juga muncul dalam artikel New York Times pada bulan Mac 2023.
Artikel itu menggambarkan Routh sedang berusaha untuk mengumpulkan pasukan pejuang asing yang terdiri daripada warga Afghanistan yang dilatih NATO untuk membantu Ukraine dalam peperangannya dengan Rusia.
Routh mempunyai laman web di mana dia berusaha untuk merekrut sukarelawan bagi tujuan menyertai pasukan Ukraine di Kyiv, menurut Associated Press. Dia juga dilaporkan mengumpul dana bagi bantuan usaha tersebut.
Dalam temu bual 2022 dengan Newsweek, Routh mencadangkan agar Amerika Syarikat terlibat dalam konflik, yang menurutnya adalah “mengenai kebaikan menentang kejahatan.”
Artikel New York Times dipetik mengatakan Routh menghabiskan beberapa bulan di Ukraine pada 2022 dan merancang untuk memindahkan berpuluh-puluh askar Afghanistan yang melarikan diri dari Taliban, sesetengahnya secara haram, ke Ukraine dari Pakistan dan Iran.
Trump telah mengkritik konflik Rusia-Ukraine, yang katanya akan segera ditamatkan, jika dipilih menjadi Presiden. Beliau juga telah mengkritik ahli NATO yang gagal mencapai kewajipan menyumbang kepada KDNK sebanyak 2 peratus.
Anak lelaki Routh, Oran Routh, memberitahu DailyMail bahawa bapanya membenci Trump seperti “setiap orang yang munasabah melakukannya.”
Menurut Oran, bapanya bukanlah seorang pengganas dan dakwaan terhadapnya adalah tidak wajar.
“Dia bapa saya dan hanya pernah menerima beberapa saman trafik, setahu saya,” kata Oran. “Itu tindakan gila. Saya kenal bapa saya dan sayangkannya, tetapi tindakan itu langsung tidak seperti dia.”
Rekod pengundi menunjukkan Ryan W. Routh kini didaftarkan sebagai pengundi tidak bersekutu di Greensboro, North Carolina. Ryan Routh berasal dari Tar Heel, tetapi pernah berpindah ke Hawaii pada satu ketika.
FBI berkata insiden itu nampaknya merupakan percubaan kedua membunuh bekas presiden. Badan penyiasatan itu mengetuai siasatan berhubung kejadian. Negeri Florida juga akan menyiasat percubaan yang gagal terhadap Trump, kata Gabenor Ron DeSantis.
Trump telah mengesahkan beliau tidak cedera. “Saya selamat dan sihat!” tulisnya dalam huruf besar di media sosial sejurus selepas bunyi tembakan kedengaran.
Suspek telah bersedia dengan rifelnya, dilengkapi dengan skop, di pagar sempadan padang golf dan mempunyai kamera GoPro, menunjukkan dia mungkin merancang untuk merakam percubaannya untuk membunuh Trump, kata Sheriff Palm Beach County Ric Bradshaw.
Pihak berkuasa berkongsi gambar kawasan yang menempatkan posisi Routh, tersembunyi di celah-celah semak di pagar perimeter Kelab Golf Antarabangsa Trump di West Palm Beach.
Suspek mempunyai dua beg hitam yang digantung lekat pada pagar berantai, masing-masing mengandungi jubin seramik yang boleh menyembunyikan kepalanya di belakang. Rifel itu diletakkan di celah antara beg, dengan hujungnya diacukan melalui wayar pagar ke arah padang golf.
Gambar bukti yang ditemui di pagar padang golf ditunjukkan pada sidang akhbar di West Palm Beach, Florida, pada 15 September 2024. (Gambar oleh Chandan Khanna/AFP/Getty Images)
Routh melarikan diri dari tempat kejadian apabila ejen Perkhidmatan Rahsia melepaskan tembakan ke arahnya. Seorang saksi melihat dia meninggalkan kawasan itu dengan sebuah SUV Nissan hitam dan berjaya mengambil gambar kenderaan itu, yang butirannya dikongsi dengan penguatkuasa undang-undang tempatan.
Plat lesen suspek dikesan sejurus selepas itu pada laluan I-95, dan dia telah ditahan.
Pegawai yang menahan melaporkan bahawa suspek tidak menunjukkan emosi dan hanya diam apabila diberkas.
Timbalan pegawai mahkamah untuk hakim sesi majistret, Shanda Walker, memberitahu The Epoch Times, Ryan Wesley Routh bakal dibawa ke hadapan mahkamah untuk sebutan awal pada hari Isnin jam 10 pagi waktu tempatan di Bangunan Persekutuan Paul G. Rogers dan Mahkamah Amerika Syarikat di West Palm Beach, Florida.
Taufan Bebinca membadai Shanghai pada pagi 16 September, menyebabkan hab kewangan China itu terhenti seketika.
Taufan Bebinca ialah ribut Kategori 1 apabila ia melanda Shanghai pada kira-kira jam 7:30 pagi waktu tempatan dan merupakan taufan tropika paling kuat sampai ke metropolitan itu sejak kejadian Taufan Gloria pada 1949, tahun revolusi komunis China, dengan kelajuan angin tertinggi 151 kph (94 mph) membadai bandar berpenghuni 25 juta orang itu.
Sekurang-kurangnya seorang cedera, dan bekalan elektrik terputus di ratusan rumah, menurut pihak berkuasa.
Gambar Hector Retama/ AFP/Getty Images
Menjelang ribut, bandar itu membatalkan kira-kira 1,400 penerbangan; kapal yang berpatah balik; sekolah diarah tutup, taman, perniagaan, dan destinasi pelancongan mengeluarkan amaran merah taufan, memberi amaran kepada penduduk tentang angin kencang dan hujan lebat. Lebih 400,000 orang telah dipindahkan dari kawasan berisiko, dan pihak berkuasa cuaca menjangkakan hujan lebat melebihi 53 cm antara 16 September dan 18 September.
Menjelang petang 16 September, lebih 10,000 pokok telah tumbang akibat ribut, dan banyak jalan ditutup kepada lalu lintas atau mempunyai sekatan kelajuan. Sekurang-kurangnya 132 ekar tanah ladang ditenggelami air.
Lebih 60,000 petugas kecemasan dan anggota bomba berada di lapangan bagi bantuan menyelamat di Shanghai.
Taufan itu bagaimanapun semakin melemah apabila ia bergerak ke pedalaman, meliputi sebahagian wilayah Jiangsu, Anhui, dan Zhejiang kini sudah melepasi Shanghai.
Shanghai terletak di bahagian pantai, tetapi kebanyakan ribut tropika cenderung membadai ke daratan lebih jauh.
Awal bulan ini, ribut Kategori 4 melanda Hainan, sebuah pulau di selatan tanah besar China, dan Hong Kong, ketika ia melanda Asia Tenggara.
Taufan Yagi menyebabkan sekurang-kurangnya 74 kematian di Burma, di mana berpuluh-puluh lagi masih hilang. Empat kematian dilaporkan di Hainan, sekurang-kurangnya 10 di Thailand, 20 di Filipina, dan lebih 230 di Vietnam, dengan puluhan lagi dilaporkan masih hilang.
Di Filipina, ribut mengakibatkan tanah runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang, termasuk seorang wanita hamil. Anak sungai yang melimpah juga menyebabkan kematian akibat lemas dan renjatan elektrik, menurut pegawai. Air di Empangan Ipo di utara Manila naik hampir ke tahap bahaya.
Tanah runtuh juga menyebabkan kemusnahan di Vietnam, di mana satu kampung di pinggir Hanoi ditenggelami air sehingga hampir tenggelam keseluruhannya, dengan sebuah lagi kampung kecil di utara dihanyutkan sepenuhnya.
Taufan Yagi adalah taufan terkuat yang melanda Vietnam dalam beberapa dekad dan menyebabkan keruntuhan infrastruktur kritikal. Dalam satu kejadian, sebuah jambatan keluli di atas Sungai Merah runtuh, menyebabkan kereta, trak dan motosikal hanyut ke dalam sungai.
Sebuah feri membawa seramai 567 penumpang dalam perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi dilaporkan telah terkandas dalam kejadian pada petang Isnin, 16 September.
Memetik Sinar Harian, feri tersebut dipercayai tersangkut pada beting pasir, kira-kira 0.5 batu nautika dari Terminal Feri Kuala Perlis.
Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom, menjelaskan insiden berlaku akibat cuaca buruk melibatkan hujan lebat serta angin kencang.
Keadaan angin kuat telah menolak feri yang menyebabkan ia terpesong dari laluan asal, lalu tersangkut di kawasan beting pasir.
Dr Baharin turut mengesahkan semua penumpang feri yang berlepas dari terminal Kuala Perlis pada jam 2.30 petang berada dalam keadaan selamat.
“Ketika ini, kerja untuk memindahkan mangsa sedang diusahakan, bagaimanapun kami menghadapi kesukaran dan kami dibantu oleh Maritim Malaysia untuk lakukan pemantauan.
“Kerja pemindahan mangsa agak sukar kerana jumlah yang ramai bagaimanapun kita masih menunggu air laut pasang,” katanya dalam kenyataan itu.
Dr Baharin turut memaklumkan tiga trip feri dari Kuala Kedah ke Langkawi terpaksa berpatah balik akibat ribut pada 16 September.
Jadual yang terjejas melibatkan feri yang membawa 120 penumpang pada jam 1.30 tengah hari, 149 penumpang pada jam 2 petang serta feri dengan 410 penumpang yang berlepas pada jam 2.30 petang.