Pada 23 Julai 2024, enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) didapati bersalah dan dijatuh hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan atas pertuduhan membunuh pegawai kadet tentera laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu.
Dalam keputusan sebulat suara, Mahkamah Rayuan menyifatkan kes itu sebagai ‘jenayah kejam paling jarang ditemui’ dan membatalkan hukuman penjara 18 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi ke atas enam tertuduh pada 2021.
“Mahkamah sebulat suara memutuskan hanya ada satu hukuman yang sesuai untuk dijatuhkan kepada enam tertuduh. Mereka hendaklah dibawa ke suatu tempat penggantungan dan dikenakan hukuman gantung sampai mati,” kata panel tiga hakim bersidang yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail.
Enam tertuduh bekas penuntut UPNM adalah:
- Muhammad Akmal Zuhairi Azmal
- Abdoul Hakeem Mohd Ali
- Muhammad Najib Mohd Razi
- Muhammad Azamuddin Mad Sofi
- Muhammad Afif Najmudin Azahat
- Mohamad Shobirin Sabri
Berikut adalah kronologi kes pembunuhan Zulfarhan Osman Zulkarnain:
1 Jun 2017:
Zulfarhan Osman, 21, disahkan meninggal dunia pada jam 9.10 malam di Hospital Serdang akibat kecederaan parah. Mayatnya didapati 80 peratus dipenuhi dengan kesan lebam dan melecur, kerana diikat, dipukul dan ditekap dengan seterika wap selama beberapa hari.
2 hingga 17 Jun 2017:
Sehari kemudian, di tengah-tengah bantahan orang ramai, Menteri Pertahanan ketika itu Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengarahkan siasatan segera oleh angkatan tentera dan UPNM terhadap kematian Zulfarhan.
Ketika keluarga mangsa menuntut keadilan, polis menerima lanjutan reman bagi 32 pelajar UPNM, yang ditahan bersama empat pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) bagi membantu siasatan. Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada 9 Jun.
14 Jun 2017, seramai 19 pelajar UPNM didakwa atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada Zulfarhan. Lima pelajar UPNM didakwa atas pertuduhan membunuh dan seorang bersubahat menyebabkan kematian pegawai kadet tentera laut. Kesemuanya mengaku tidak bersalah.
Pada hari yang sama, kesemua pelajar itu dibenarkan membayar ikat jamin RM7,000 setiap seorang.
17 Jun 2017, Menteri Pengajian Tinggi ketika itu Datuk Seri Idris Jusoh memaklumkan bahawa 13 pelajar UPNM dibenarkan melanjutkan pelajaran di universiti itu sehingga kes mereka diputuskan.
15 September 2017:
Kes lima pelajar UPNM itu, yang didakwa membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di mana mereka berdepan hukuman mati mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Seorang lagi pelajar, yang didakwa bersubahat dengan mereka, turut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi yang sama.
8 Disember 2017:
Selepas enam pelajar UPNM, yang didakwa atas tuduhan membunuh dan bersubahat, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu pada 10 November, Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan ke atas kesemua 19 pelajar UPNM selama 14 hari bermula 29 Januari 2018.
5 Jun 2018:
Nurul Syuhada Md Jamean, teman wanita Zulfarhan, memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa arwah telah menghubunginya dalam kesakitan, mendakwa rakan-rakan telah menuduhnya mencuri salah satu komputer riba milik mereka dengan menyerang serta memukulnya.
“Dia kata dia sakit. Dia mahu memberitahu saya sesuatu, dia beritahu saya jangan beritahu orang lain… dia beritahu saya dia dipukul. Dia dituduh mencuri komputer riba. Saya bertanya kepadanya sama ada dia telah mengambil komputer riba itu, katanya dia tidak mencurinya, tetapi rakan-rakannya bertegas dia yang mencurinya,” kata Nurul Syuhada semasa keterangan saksi.
31 Julai 2019:
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan 18 pelajar UPNM membela diri atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman.
Mahkamah membebaskan seorang pelajar Muhammad Akmal Akif Alias daripada semua pertuduhan.
2 November 2021:
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah memutuskan enam pelajar UPNM, yang didakwa atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh, telah melakukan jenayah tidak berhati perut dan bertindak seperti penjenayah tegar, beliau berkata tidak boleh mensabitkan mereka atas kesalahan membunuh kerana ia bukanlah pembunuhan yang dirancang.
Menurutnya, kesalahan yang dilakukan bekas pegawai kadet UPNM itu hanya boleh dianggap sebagai membunuh tanpa niat, di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan, dan bukannya membunuh mengikut Seksyen 302.
Enam pelajar itu dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun, manakala baki 12 lagi menerima hukuman penjara tiga tahun, dengan tempoh masing-masing bermula dari tarikh tangkapan atau pada 2 November 2021.
3 November 2021:
Sehari kemudian, Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
Pada 23 Julai 2024, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan mengembalikan semula tuduhan bunuh terhadap 6 tertuduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan hukuman gantung sampai mati.
Mahkamah Rayuan juga mengetepikan hukuman penjara tiga tahun ke atas 12 lagi bekas penuntut universiti sama kerana mencederakan Zulfarhan dengan gantian hukuman penjara empat tahun.
“Sebarang kesulitan yang dialami tertuduh, seperti dibuang universiti dan lain-lain, bukanlah faktor untuk mengurangkan hukuman mereka. Tertuduh mesti menanggung akibat daripada tindakan mereka,” kata Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail dalam penghakiman itu.
12 bekas penuntut UPNM yang bersubahat mencederakan Zulfarhan adalah:
- Mohd Hafiz Fauzan Ismail
- Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain
- Ahmad Shafwan Berdal
- Muhammad Amirul Asraff Mala
- Luqman Hakim Shamsuri Agus
- Muhammad Sufi Mohd Mustapha
- Noriznan Izzairi Noor Azhar
- Muhamad Ashraf Abdullah
- Muhammad Danial Firdaus Azmir
- Muhammad Hasif Ismail
- Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani
- Mohamad Syazwan Musa
Ketika ibu bapa Zulfarhan menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Mahkamah Rayuan atas keputusan itu, perjuangan mereka untuk menuntut keadilan masih belum selesai.
Menurut bapa, Zulkarnain Idros, dia dan isterinya, Hawa Osman dimaklumkan 6 tertuduh merancang untuk memfailkan rayuan di atas keputusan itu di Mahkamah Persekutuan, dan ia akan didengar dalam tempoh beberapa minggu lagi.