KUALA LUMPUR: Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu ditemukan tidak bernyawa di Felda Gedangsa, Hulu Selangor, dipercayai dibunuh.

Mayat Nur Farah Kartini,25, ditemukan di ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada 6 petang 15 Julai 2024.
Susulan itu, tangkapan ke atas suspek berusia 26 tahun yang merupakan seorang penjawat awam dilakukan bagi membantu siasatan.
“Polis sudah melakukan tangkapan, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” Kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penemuan individu yang dilaporkan hilang berkenaan.
“Pemeriksaan awal mengesahkan mayat berkenaan adalah mangsa yang dilaporkan hilang berkait laporan di Tanjung Malim.”
“Susulan penemuan mayat berkenaan, polis menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan.”
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” Katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan bahawa polis menerima laporan pada 10 Julai lalu mengenai seorang wanita yang hilang selepas dia menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Kali terakhir mangsa yang bertugas di bahagian pemasaran di salah sebuah kedai percetakan di Tanjung Malim dilihat memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan berseluar slack hitam.
“Dia (Farah) tidak bekerja dengan syarikat perkhidmatan kereta sewa, sebaliknya hanya membantu secara sambilan menguruskan sewaan kereta kerana akan mendapat komisen.”
“Pekerjaan secara sambilan berkenaan juga dibuatnya untuk membantu pelajar mencari kereta sewa jika pelajar mahu bergerak ke mana-mana destinasi,” Kata wakil pengurusan kedai percetakan yang enggan dikenali.
Menurut pemberi maklumat itu lagi, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, Nur Farah didakwa menaiki kereta berwarna merah yang tidak dikenal pasti nombor pendaftaran berikutan hujan pada waktu kejadian.
“Komunikasi terakhir salah seorang pengurusan kedai percetakan dengan Farah pada 8.14 pagi (hari kejadian), dan dia tidak dapat dihubungi selepas itu.”
“Mereka cuba menghubungi Farah, tetapi tiada jawapan, malah pesanan WhatsApp juga tidak dibalas mahupun dibaca,” Katanya.
Bercakap lanjut mengenai kejadian hitam itu, abang Farah yang tinggal di Selangor datang ke Tanjung Malim bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan mengenai adiknya.
Polis turut meminta jasa orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di talian 05-4596122 untuk membantu siasatan.