GEORGETOWN: Muhammad Luth Syauqi Abdul Rahman, salah seorang daripada dua kanak-kanak lelaki kritikal yang memakan keropok beracun ditemui di sebuah kebun di Labu Besar, Kulim, Kedah, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Besar Pulau Pinang pada 12 Julai.
Muhammad Luth Syauqi menghembuskan nafas terakhir dua hari selepas abangnya, Muhammad Akil Syauqi, turut meninggal dunia akibat keracunan memakan makanan ringan dipercayai diletakkan racun tikus.

Ibu mereka, Nurain Hasnorizal, mengesahkan kematian kanak-kanak berusia 2 tahun itu kepada Harian Metro ketika ditemui di hospital.
“Luth meninggal dunia kira-kira jam 1.24 tengah hari. Penderitaannya telah berakhir.
“Jenazahnya akan dikebumikan di Kampung Banggol Berangan, bersebelahan pusara abangnya,” kata ibu berusia 25 tahun itu.

Muhammad Luth dan Muhammad Akil dimasukkan ke hospital selepas memakan makanan ringan yang dicampur racun tikus dan digantung pada pagar dawai untuk menghalau haiwan liar, yang ditemui mereka berhampiran sebuah kebun di Kampung Padang Ubi pada Ahad, 7 Julai lalu.
Pemilik kebun yang dikenali sebagai Am, mendakwa adalah “mustahil” buat mangsa untuk mencapai snek beracun itu sendiri kerana ia digantung 1.2 meter dari tanah.

Sementara itu, nenek mangsa mengesahkan pernah melihat Muhammad Luth dan Muhammad Akil kelihatan ceria ketika membawa pulang makanan ringan pada hari kejadian.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi, dilaporkan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan, iaitu cuai membabitkan bahan beracun.
Media pada 12 Julai melaporkan seorang lelaki iaitu pemilik kebun direman enam hari hingga 17 Julai ini bagi membantu siasatan kes.