KOTA BHARU: Pasangan tular Shamsuri Shafie dan Rosnaida Ismail sambut kelahiran cahaya mata ke-12 pada pukul 3.43 petang kelmarin.
Menurut Shamsuri,39, seorang pengamal perubatan Islam, dia dan isteri dikurniakan cahaya mata lelaki namun belum memberi nama kepada bayi mereka yang dilahirkan di sebuah pusat perubatan di sini.
Shamsuri meluahkan rasa syukurnya kerana dikurniakan lagi cahaya mata serta proses kelahiran oleh isterinya, Rosnaida,38 berjalan lancar.
“Alhamdulillah, perasaan sangat teruja dan bersyukur kerana Allah SWT permudahkan urusan kehamilan isteri yang tidak alami alahan sehingga dia selamat bersalin.”
“Sebenarnya, bukan hanya saya dan isteri malah anak lain pun teruja dapat adik baru.”
“Sebagai suami, saya ucapkan terima kasih kepada isteri atas pengorbananya melahirkan cahaya mata kami.”
“Sukar nak mencari seorang isteri yang tabah, penyayang, tenang serta bertanggungjawab sepertinya malah dia adalah tulang belakang serta penguat semangat saya,” Katanya kepada Harian Metro.
Walaupun sudah memiliki 12 cahaya mata, Shamsuri tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata pada masa akan datang.
“Jika ada rezeki, saya nak lagi kerana anak pun anugerah Allah SWT.”
“Anak pun pembawa rezeki dan menjadi penguat hubungan serta pengikat kasih sayang dengan isteri sepanjang 19 tahun kami berumah tangga,” Katanya.
Terdahulu Harian Metro pernah menyiarkan kisah kehidupan Shamsuri dan iterinya yang bahagia kerana dikurniakan 11 orang cahaya mata yang terdiri daripada enam lelaki serta lima perempuan.
Kisah Shamsuri sekeluarga mendapat perhatian selepas dia berkongsi video dan gambar dengan keluarganya itu di TikTok.