Menjadi seorang YouTuber dengan jutaan pengikut bersama jutaan tontonan pastinya menjadi pekerjaan yang menyeronokkan kerana ia memberi pulangan lumayan.
Tetapi, kandungan yang dihasilkan mestilah yang dapat menarik perhatian penonton untuk kekal menjadi pengikut, seperti bagaimana orang Asli gigih dan bijaksana membina rumah di dalam hutan belantara, hanya dengan menggunakan alatan primitif mereka.
Mereka ini tidak ramai, dengan hanya menggunakan kudrat dua atau tiga orang sahabat mempamerkan kemahiran menggali tanah tanpa peralatan khas, dan ia telah berjaya menarik perhatian ramai.
Kebanyakan video orang Asli yang hebat ini dilakukan melalui saluran YouTube Primitive Survival Tool dan Primitive Building yang masing-masing mempunyai 6.36 juta dan 1.46 juta ‘subscriber’ atau pengikut mereka.
Namun baru-baru ini, sebuah video di TikTok membuat pendedahan di sebalik tabir penggambaran kandungan YouTube tersebut, yang telah mendapat perhatian dan rasanya kini ramai berasa tertipu.
Ini kerana, selama ini ramai penonton berpendapat bahawa mereka membina rumah tersebut tanpa sebarang peralatan moden atau bantuan kudrat daripada orang lain.
Yang menunjukkan rupa-rupanya ia berbeza dengan apa yang disangkakan oleh para penonton selama ini.
Menerusi rakaman TikTok tersebut, ternyata terdapat ramai pihak di belakang tabir yang membantu di sebalik video-video popular itu, yang mana selama ini memperlihatkan hanya dua atau tiga orang sahaja membinanya.
Selain itu, turut kelihatan peralatan seperti kamera dan ‘stabilizer’ yang canggih juga digunakan untuk membuat penggambaran kandungan terbabit dan ianya nampak berbeza dengan apa yang penonton sangkakan selama ini.
Tidak kiralah ada yang rasa tertipu, mungkin ramai juga yang masih mahu menonton video berkenaan sebab mereka ini kreatif dan mengajar kita macam mana hendak ‘berkelangsungan hidup’ di dalam hutan, di samping ada penonton yang boleh ‘cuci mata’ dan mendapat ‘ketenangan’ apabila menontonnya.