Dua individu ditemukan maut di dalam bilik penyimpanan tong karbon dioksida (CO2) di sebuah kondominium yang terbengkalai di Jalan Istiadat, Likas, Sabah pada Rabu, 17 Januari ketika dua sekawan itu sedang mencari kabel dan besi untuk dijual.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mayat lelaki dan wanita berumur 43 dan 43 tahun ditemukan terlungkup di sebuah bilik penyimpanan tong gas dipercayai akibat terhidu gas CO2.

“Laporan mengenai dua mangsa yang tidak sedarkan diri serta pintu bilik tertutup di bangunan berkenaan diterima pada 9.30 pagi.
“Hasil siasatan mendapati, berdasarkan keterangan saksi, kedua-dua mangsa adalah kenalannya dan mangsa wanita itu tinggal serumah dengannya.
“Pada jam 2 pagi, kedua-dua mangsa memberitau saksi bahawa mereka ke bangunan berkenaan bagi mencari kabel dan besi untuk dijual,” katanya semasa dihubungi.
Mohd Zaidi berkata, kira-kira setengah jam selepas itu, anak mangsa yang dijaga saksi menangis dan dia cuba untuk menghubungi salah seorang mangsa tetapi telefon bimbit gagal dihubungi.
“Bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku, saksi bersama seorang lagi rakannya ke bangunan itu untuk mencari mangsa.

“Kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik penyimpanan tong gas yang terkunci, menyebabkan saksi terus ke Pondok Polis Likas untuk memaklumkan kejadian.
“Sepasukan bomba turut dipanggil bagi membuka pintu bilik dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, hasil siasatan pasukan bomba dan perubatan di tempat kejadian juga mengesahkan bahawa kemungkinan kedua-dua mangsa meninggal dunia berpunca daripada terhidu gas karbon dioksida.
“Siasatan di tempat kejadian juga tidak berlaku sebarang tanda-tanda unsur perbuatan jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian kedua-dua mangsa.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.