Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melakar sejarah apabila membuat kemunculan istimewa di slot khas Buletin Diraja jam 8 malam di saluran TV3 pada 17 Januari.
Seri Paduka Baginda berdua tampil kira-kira 15 minit dalam slot berita terbabit dan menyampaikan laporan berkenaan ternakan ikan patin di Pahang.
Kemunculan Seri Paduka Baginda di saluran tersebut juga dinanti-nantikan oleh rakyat sebaik sahaja perkara itu dimaklumkan di Facebook Istana Negara.
Penstriman secara langsung di YouTube rasmi Buletin Utama turut mencatatkan hampir 70,000 penonton menyaksikan slot khas yang menampilkan Seri Paduka Baginda.
Tinjauan di media sosial mendapati rata-rata rakyat berkongsi rasa teruja selain turut memuji kebolehan Seri Paduka Baginda menyampaikan berita.
“Sungguh terharu mengikuti penyampaian daripada Tuanku Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong malam ini. Walaupun cuma sebentar, jadi kenangan sepanjang hayat. Daulat Tuanku!”
“Tuanku sangat berbakat dan menyantuni rakyat di Buletin Utama.. Rakyat sangat tersentuh hati dengan inisiatif Tuanku. Semestinya kami semua akan merindui Tuanku.”
“Sungguh bangga dengan Tuanku Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong! Sungguh bangga sebab sentiasa dekat dengan kami.”
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan melawat Sri Pentas.
Pasangan diraja itu tiba pada kira-kira jam 10.30 pagi dan disambut barisan kepimpinan dan warga kerja Media Prima Berhad (MPB).
Dalam lawatan berkenaan baginda berdua turut diberikan taklimat berkaitan operasi MPB dan dibawa ke lawatan eksklusif melihat studio radio dan berita.
Tonton video di sini: