Gempa bumi bermagnitud 7.5 berlaku di Jepun, amaran Tsunami dikeluarkan

0
200

Gempa bumi dengan magnitud awal 7.6 telah menyebabkan ombak sekitar satu meter di sebahagian pantai Laut Jepun.

Menurut penyiar awam NHK, melihatkan keadaan itu mereka menjangkakan ombak yang lebih besar akan datang.

Agensi Meteorologi Jepun telah mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pantai Ishikawa, Niigata dan Toyama.

Dalam masa yang sama, Rusia turut mengeluarkan amaran tsunami bagi bandar-bandar di timurnya seperti Vladivostok dan Nakhodka.

Menurut Perdana Menteri Fumio Kishida dalam satu kenyataan, pihak berkuasa masih menilai tahap kerosakan.

Kishida turut mengingatkan penduduk agar bersedia menghadapi sebarang kemungkinan gempa lanjutan.

“Penduduk perlu sentiasa berwaspada terhadap gempa yang mungkin berlaku.

“Saya mendesak orang-orang di kawasan yang dijangka berlaku tsunami untuk mengosongkan kawasan secepat mungkin,” kata Kishida.

REUTERS

Rakaman daripada NHK memaparkan sebuah bangunan runtuh di bandar pantai Suzu dan penduduk di bandar Kanazaawa berlindung di bawah meja ketika gempa menggegarkan rumah mereka.

Gempa bumi tersebut juga menggegarkan bangunan di ibu negara Tokyo di pantai yang berlawanan.

Lebih 36,000 isi rumah di Ishikawa dan Toyama terputus bekalan elektrik, kata pembekal utiliti Hokuriku Electric Power.

Kesan gempa bumi berkenaan turut menyebabkan perkhidmatan keretapi laju ke Ishikawa dihentikan.

Operator telekom Softbank dan KDDI melaporkan terdapat gangguan perkhidmatan telefon dan internet di Ishikawa dan Niigata.

Sementara itu, empat penerbangan ANA dari Jepun dilaporkan telah berpatah balik dan menuju ke lapangan terbang di Toyama dan Ishikawa.

Manakala Japan Airlines pula telah membatalkan sebahagian besar perkhidmatan penerbangan ke kawasan Niigata dan Ishikawa.

REUTERS

Pihak berkuasa Kawalan Nuklear Jepun bagaimanapun berkata keadaan di loji-loji nuklear di sepanjang pantai Jepun masih terkawal.

Ini termasuklah loji Ohi dan Takahma milik Kansai Electric Power.

Namun, sebelum gempa berlaku dua reaktor di loji Shika Hokuriku di Ishikawa yang terletak paling hampir dengan pusat gempa berlaku telah dihentikan untuk pemeriksaan biasa.

Menurut agensi itu lagi, tindakan tersebut tiada kena-mengena dengan gempa yang berlaku.

Terdahulu, gempa bumi dan tsunami besar yang melanda timur laut Jepun pada 11 Mac 2011 mengorbankan hampir 20,000 orang.

Kesan fenomena itu turut menyebabkan kemusnahan bandar-bandar dan nuklear di Fukushima.

Pada tahun 1995, Gempa Besar Hanshin yang melanda barat Jepun telah mengorbankan lebih daripada 6,000 orang.

Ketika berjuta-juta orang Jepun secara tradisinya melawat kuil sempena tahun baharu, mereka diuji dengan gempa bumi.

REUTERS

Di Kanazawa, pintu torii (gerbang tradisional Jepun yang biasa ditemui di pintu masuk kuil Shinto, makam-makam diraja dan sebahagian kuil Buddha) runtuh dan berselerakan di pintu masuk kuil.

Penduduk Kanazawa, Ayako Daikai berkata dia, suami dan dua orang anaknya telah berpindah ke sekolah rendah berhampiran sejurus selepas gempa melanda.

Ketika dihubungi Reuters, Ayako berkata dia fikir selamat bagi mereka untuk berpindah lantaran pernah menghadapi Gempa Besar Hanshin.

Menurut Ayako lagi, tingkat atas sekolah empat tingkat itu telah dipenuhi pendudk.

“Kami belum memutuskan bila untuk pulang,” kata Ayako.

Di Wajima yang berdekatan, rakaman imej menunjukkan rumah runtuh dan retakan besar di sepanjang jalan konkrit.

Ibu bapa yang panik turut dilihat menggenggam erat anak-anak mereka.

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini