Seorang pelancong cedera dan seorang lagi maut selepas salah satu lantai jambatan kaca The Geong pecah semasa mangsa melintasi jambatan terbabit.
Jambatan berkenaan terletak di Hutan Simpan Limpakuwus, Kabupaten Banyumas, Jawa Tengah, Indonesia.
Menurut laporan media tempatan, ketinggian maksimum jambatan itu adalah sekitar 15 meter atau sepanjang lebih kurang tiga kereta sedan biasa.
Mangsa adalah pelancong tempatan dari wilayah Cilacap yang bercuti ke kawasan itu.
Ketua Polis Bandar Banyumas, Edy Suranta Sitepu, berkata tragedi itu berlaku kira-kira jam 10 pagi waktu Indonesia Barat.
“Daripada maklumat yang dikumpulkan, sebanyak 11 orang pelancong dari Cilacap berada di atas jambatan berkenaan ketika kejadian,” katanya.
Tambah beliau, bahagian kepingan kaca yang menjadi lantai jambatan berkenaan pecah secara tiba-tiba semasa kumpulan pelancong berkenaan berdiri di atasnya.
Dua daripada mereka sempat berpaut pada rangka jambatan manakala dua yang lain, masing-masing wanita berusia 41 dan 49 tahun, terjatuh ke bawah, kata Edy.
Kedua-dua mangsa yang terjatuh itu, dikejarkan ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan.
Mangsa yang berusia 41 tahun hanya mengalami kecederaan ringan, namun mangsa berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital.
Menurut Pengerusi Hutan Simpan Limpakuwus, Eko Purnomo, jambatan kaca terbabit adalah antara destinasi ikonik bagi pelancong dan masyarakat setempat di Kabupaten Banyumas, lapor media tempatan.
Difahamkan, The Geong dan Hutan Simpan Limpakuwus berkongsi tanah yang sama, tetapi dijalankan di bawah pengurusan yang berbeza.