Pasangan vlogger dan YouTuber, VeggiesOnTour Pat dan Giulia dari United Kingdom dan Itali sememangnya suka memuji Malaysia dan telah datang beberapa kali ke negara ini sejak mereka terkandas ketika pandemik melanda dunia pada tahun 2020.
Pasangan ini telah memuat naik pelbagai kandungan di platform media sosial mengenai lokasi pelancongan menarik perhatian mereka ketika berada di Malaysia, yang kebanyakannya memberi pujian dan membandingkan dengan negaranya atau negara lain yang telah dilawati.

Baru-baru ini, Pat dalam satu videonya di TikTok telah memuji tiga perkara mengenai Malaysia dan berharap dapat berkongsi pengalamannya bersama para pelancong asing lain.
Menurut Pat, ada tiga perkara yang pelancong asing akan perasan sebaik tiba di Malaysia, iaitu kebersihan, kecekapan pihak imigresen Malaysia, dan keramahan serta kebaikan hati rakyat Malaysia.
“Bila kamu tiba sebagai pelancong di Kuala Lumpur, lihatlah betapa bersihnya semua tempat, tandas, lantai berkilat macam kamu boleh makan di lantai itu, hampir semua tempat, semuanya bersih.

“Kemudian, betapa pantas dan cekapnya pihak imigresen Malaysia, semua petugas sangat efisien, tiada bertanya hal remeh-temeh, urusan selesai dalam beberapa minit.
“Jika mereka ingin bertanya, mereka akan melakukannya secara efisien dan sangat-sangat baik,” puji Pat.

Dan ketiga, Pat memuji semua orang di Malaysia adalah sangat baik dan peramah.
“Kamu pergi di mana-mana, kamu dapat merasakan semua orang sangat baik hati dan peramah, bermula dengan petugas imigresen di kaunter sehingga kamu menaiki teksi, kamu akan menerima layanan yang baik.

“Semua orang dengan mood yang baik, sangat-sangat baik, mereka akan sentiasa menyambut ketibaan kamu dengan hati terbuka,” katanya.
Pat merasakan ramai pelancong yang akan terkejut dan tidak menyangka dengan tiga perkara ini apabila mereka mula-mula menjejakkan kaki ke Malaysia.

Harap-harap banyaklah kebenarannya dengan apa yang dikongsikan oleh Pat dan Giulia berdasarkan pengalaman mereka sendiri ketika berada di Malaysia.
Tonton video di sini.